Ikuti Kami:

Suami Zahnita Wilson Direman Tiga Hari Bantu Siasatan Kes Keganasan Rumah Tangga

Suami Zahnita Wilson Direman Tiga Hari Bantu Siasatan Kes Keganasan Rumah Tangga

Suami kepada peragawati dan pelakon terkenal, Zahnita Wilson, direman selama tiga hari bermula Selasa hingga Khamis ini bagi membantu siasatan susulan pendedahan Zahnita menjadi mangsa keganasan rumah tangga.

Perintah reman tersebut dikeluarkan oleh Majistret Tengku Eliana Tuan Kamaruzaman. Suspek tiba di Kompleks Mahkamah Kuantan kira-kira jam 8.30 pagi sebelum proses reman selesai setengah jam kemudian.

Sebelum ini, Zahnita mengejutkan ramai apabila memuat naik hantaran di Instagram yang menunjukkan wajahnya lebam di bahagian mata.

Zahnita atau nama penuhnya Zahnita Dorothy Hussein Wilson, 39 mengaku sudah lama menjadi mangsa keganasan rumah tangga dan menjelaskan tindakannya mendedahkan insiden tersebut kepada umum.

“Saya sudah banyak kali dipukul dan sudah membuat laporan polis, namun tiada sebarang tindakan. Malah tindakan itu berbalik kepada saya semula, saya jadi gila. Saya sudah cuba pertahankan rumah tangga ini. Saya juga pernah minta cerai tetapi dia menjanjikan langit dan bintang.

“Tidak lama selepas itu, dia kembali buat perangai semula. Dia mengasari saya lagi. Sudah 20 tahun bertahan, cukuplah. Saya sedang tunggu wakil peguam datang ke Kuala Lumpur untuk ambil tindakan seterusnya,” katanya.

Menurut Zahnita, kejadian pada pagi Isnin lalu menjadi kemuncak penderitaan yang dialaminya dan membuatnya nekad untuk mendedahkan kekerasan yang didakwa dilakukan suaminya.

Ketua Polis Daerah Kuantan, Asisten Komisioner Wan Mohd Zahari Wan Busu, mengesahkan penahanan suspek pada Isnin. “Kes ini disiasat di bawah Seksyen 506 Kanun Keseksaan,” katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Pahang, Datuk Seri Yahaya Othman, berkata siasatan awal mendapati keputusan Zahnita untuk keluar rumah dan tinggal berasingan dipercayai menjadi punca kemarahan suaminya.

“Berikutan itu, laporan polis dibuat oleh mangsa pada 27 November lalu, dan suami mangsa ditahan semalam selepas hadir ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuantan.

“Hari ini, suspek dibawa ke mahkamah untuk mendapatkan tahanan reman,” katanya kepada media selepas Perhimpunan Bulanan Polis di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Pahang pada Selasa.

Komen
Loading...