
Usahawan kosmetik, Haji Ahmad Shah Rizal bin Ibrahim, menafikan dakwaan bahawa beliau menyalahgunakan atau menyembunyikan wang tunai berjumlah RM1.3 juta, seperti yang tular di media sosial sejak kebelakangan ini.
Suami kepada pengasas produk kecantikan Dnars Skincare, Allahyarhamah Faziani Rohban Ahmad, menjelaskan bahawa wang tersebut merupakan hasil usaha perniagaan bersama dengan Allahyarhamah isterinya semasa hayatnya dan bukan milik individu lain seperti yang didakwa.
“Tuduhan bahawa saya mengambil atau menyembunyikan wang tunai RM1.3 juta adalah tidak benar dan mengelirukan. Wang itu adalah hasil usaha kami bersama. Malah, saya sendiri yang mengisytiharkan keberadaan wang itu semasa mesyuarat keluarga selepas pemergian Allahyarhamah,” katanya dalam satu sidang media.
Menurutnya, wang berkenaan diambil daripada peti simpanan di bilik mereka dengan disaksikan oleh wakil ahli keluarga sebelum disimpan ke dalam akaun miliknya atas faktor keselamatan sementara menunggu proses pembahagian pusaka.
“Semua ahli keluarga mengetahui perkara ini dan tidak membantah ketika itu. Saya juga telah dilantik sebagai pentadbir pusaka Allahyarhamah oleh Mahkamah bersama seorang lagi anak arwah, Mohamed Aqbar Hakim bin Jasman,” jelas beliau.
Ahmad Shah Rizal turut memaklumkan bahawa beliau hanya menerima perintah rasmi mahkamah bertarikh 22 September 2025, lebih sebulan selepas prosiding mahkamah pada 13 Ogos 2025.
“Selepas menerima perintah tersebut, saya telah memindahkan wang RM1.3 juta itu ke dalam akaun rasmi pentadbir pusaka dalam tempoh empat hari bekerja. Selama ini, wang tersebut berada dalam simpanan saya dengan selamat,” katanya.
Beliau menegaskan bahawa sejak tahun 2021, beliau telah menjalankan tanggungjawabnya sebagai pentadbir pusaka seperti yang diperintahkan oleh Mahkamah Tinggi Syariah Kota Bharu dan akan terus melaksanakan tanggungjawab itu sehingga proses pembahagian selesai.
“Saya tidak pernah mengambil hak anak yatim seperti yang dituduh. Dakwaan bahawa saya makan harta anak yatim adalah fitnah dan tidak berasas, malah dibuat sebelum saya menerima perintah rasmi mahkamah,” tegasnya lagi.
Untuk rekod, Ahmad Shah Rizal telah mengambil tindakan undang-undang saman fitnah terhadap beberapa pihak pada tahun 2022 dan menunggu keputusan kes tersebut pada Januari 2026 nanti.