Ikuti Kami:

Strike: Silat Cult Master, Perpaduan Silat dan Fiksyen Moden

Strike: Silat Cult Master, Perpaduan Silat dan Fiksyen Moden

Malam gala filem Strike: Silat Cult Master yang berlangsung di GSC The Starling malam tadi menyaksikan kehadiran barisan pelakon, pengarah, serta jemputan khas yang teruja menyaksikan filem aksi terbaru ini.

Menggabungkan elemen silat dan fiksyen moden, filem ini membawa dimensi baharu kepada genre aksi tempatan dengan babak pertarungan mendebarkan dan jalan cerita yang penuh dramatik.

Penerbit dan pengarah, Mallory Lee, berkongsi bahawa filem ini diinspirasikan daripada permainan video arked era 90-an, dengan penekanan kepada aksi pertarungan yang intensif.

“Saya mahu membawa sesuatu yang segar ke dalam industri filem Malaysia. Dengan mengangkat silat sebagai seni mempertahankan diri utama, saya harap ia dapat menarik minat penonton tempatan dan antarabangsa,” katanya.

Mengisahkan perjalanan Izra, lakonan Aiman Ameer, yang memburu pembunuh ibunya, filem ini membawa penonton menyelami dunia pertarungan bawah tanah yang penuh dengan konflik dan dendam.

Dalam pencariannya, Izra bertemu dengan individu-individu lain yang turut mahir dalam silat dan bersama-sama mereka menentang kumpulan kejam yang dipimpin oleh Abil, lakonan Jay Iswazir.

Turut menjayakan filem ini ialah Fify Azmi, Azri Safix, Muhammad Lokman, Ayez Shaukat, Manvin Khera, Seelan Manoharan, Colleen Augustin dan Trisha Ooi.

Malam gala ini bukan sekadar perayaan bagi filem Strike: Silat Cult Master, tetapi juga simbol perkembangan industri filem aksi tempatan yang semakin berani bereksperimen dengan konsep baharu.

Dengan gabungan elemen silat dan fiksyen moden, filem ini dijangka memberi impak tersendiri dan membawa nafas segar kepada industri perfileman Malaysia.

Tayangan rasmi akan bermula pada 13 Februari 2025 di seluruh pawagam tanah air.

Komen
Loading...