Ikuti Kami:

‘Star Wars: A New Hope in Concert’ Alami Pengembaraan Galaksi Bersama MPO di KLCC

‘Star Wars: A New Hope in Concert’ Alami Pengembaraan Galaksi Bersama MPO di KLCC

Peminat tegar saga ikonik Star Wars kini berpeluang merasai pengalaman sinematik luar biasa apabila Orkestra Filharmonik Malaysia (MPO) membawakan persembahan ‘Star Wars: A New Hope in Concert’ pada Mei depan.

Bertempat di Dewan Filharmonik PETRONAS (DFP), KLCC, konsert ini bakal menyaksikan tayangan penuh filem pertama Star Wars itu sambil diiringi skor muzik hebat gubahan komposer legenda, John Williams, yang dimainkan secara langsung oleh barisan pemuzik MPO.

Persembahan yang dijadualkan berlangsung pada 3 dan 4 Mei 2026 itu akan dikendalikan oleh konduktor ternama, Gerard Salonga.

Sejak ditayangkan lebih 45 tahun lalu, Star Wars: A New Hope telah meninggalkan impak besar dalam budaya pop dunia melalui penceritaan mitik dan kesan khas yang mendahului zaman.

Namun, elemen paling diingati sudah pastinya skor muzik gubahan Williams yang berjaya merangkul Anugerah Akademi (Oscar) bagi Skor Asal Terbaik.

Menerusi konsert ini, penonton dapat menyelami semula perjalanan Luke Skywalker yang memulakan misi menyelamatkan Puteri Leia daripada cengkaman Darth Vader, sambil diiringi kemegahan alunan simfoni secara ‘live’.

Untuk rekod, John Williams merupakan figura penting di sebalik sembilan filem saga Star Wars, dengan hampir kesemua gubahannya dicalonkan untuk anugerah Oscar.

Bagi mereka yang tidak mahu melepaskan peluang keemasan ini, tiket-tiket dijual pada harga RM399, RM449, RM499 dan RM549 melalui laman web mpo.com.my atau hubungi talian 03-23317007