STAR KRUise Showcase: Pelayaran Muzik Epik 5 Hari 4 Malam Bersama KRU
- oleh MDaily Editor
- 23 Oct 2025 5:41 pm
Legenda muzik tersohor tanah air, KRU, bakal berlayar bersama peminat dalam pelayaran mewah STAR KRUise Showcase, satu pengalaman muzik eksklusif selama lima hari empat malam di atas kapal Star Voyager Cruise (SVO) yang dijadualkan pada Januari 2026.
Trio adik-beradik yang terdiri daripada Dato’ Norman Abdul Halim, Datuk Yusry Abdul Halim, dan Edry Abdul Halim ini terus membuktikan keampuhan jenama KRU dalam industri hiburan selepas lebih tiga dekad berkarya.
Kali ini mereka tampil dengan konsep unik yang menggabungkan percutian mewah dan hiburan eksklusif dalam satu pelayaran yang merentasi Malaysia, Singapura dan Thailand.
Ketua Pegawai Eksekutif SUKA Travel & Tours Sdn. Bhd., Adam Kamal Ahmad Kamil, berkata idea penganjuran showcase di atas kapal ini tercetus daripada keinginan untuk memberi nafas baharu kepada pakej pelancongan kapal persiaran yang semakin mendapat tempat di kalangan rakyat Malaysia.
“Kami lihat ramai pelanggan yang pernah menaiki kapal persiaran tidak mahu mengulanginya kerana laluan dan pengalaman yang sama. Jadi kami fikir, bagaimana untuk menjadikan pelayaran lebih menarik? Dari situ timbul idea untuk menggabungkan hiburan dan pelancongan dengan menampilkan KRU sebagai tarikan utama,” katanya semasa sidang media khas di Royale Chulan Damansara, hari ini.

Adam menjelaskan bahawa pakej pelayaran ini ditawarkan pada harga bermula RM2,588 seorang, termasuk penginapan, makanan, persembahan eksklusif KRU, dan lawatan ke destinasi menarik seperti Phuket dan Singapura.
Menurutnya, bagi tempoh lima hari empat malam, harga tersebut dianggap sangat berbaloi dengan pengalaman yang ditawarkan.
Sementara itu, Dato’ Norman Abdul Halim menyifatkan peluang membuat persembahan di atas kapal sebagai satu pengalaman berbeza dan peribadi buat mereka bertiga.
Katanya, beliau sendiri sudah lama berhasrat untuk membawa keluarga bercuti menaiki kapal persiaran, dan apabila tawaran ini datang, ia menjadi peluang dua dalam satu.
“Memang dah lama saya nak cuba pengalaman naik kapal cruise. Tahun lepas saya pun ada cari pakej tapi tak sempat. Jadi bila tawaran ni datang, saya anggap ia peluang yang sempurna, dapat bercuti dengan keluarga dan pada masa sama membuat persembahan bersama adik-beradik,” ujarnya.

Bagi Edry Abdul Halim, konsep pelayaran ini bukan sekadar konsert semata-mata, tetapi peluang berinteraksi secara lebih dekat dengan peminat setia.
“Kami nak sesuatu yang lebih intim kali ini. Dulu banyak aktiviti bersama kelab peminat seperti Fun in the Sun dan majlis hari raya, tapi sudah lama kami tak buat begitu. Jadi, pelayaran ini akan mengembalikan suasana itu, dan persembahan pun lebih akustik, lebih peribadi,” katanya.
Datuk Yusry Abdul Halim pula berkata pelayaran ini menghidupkan semula semangat lama KRU ketika mereka aktif menganjurkan program interaktif bersama peminat.
“Bila dapat tawaran ni, semuanya terasa begitu sempurna. Dulu KRU pernah anjurkan aktiviti seperti Fun in the Sun bersama peminat. Jadi bila dapat peluang buat persembahan atas kapal, ia macam mengembalikan semangat lama itu.”
“Kali ini suasana lebih kecil dan terkawal, jadi peminat dapat rasai suasana yang lebih peribadi dan eksklusif,” ujarnya.

Kapal Star Voyager Cruise (SVO)
Pelayaran STAR KRUise Showcase akan berlangsung pada dua laluan iaitu 25 hingga 29 Januari 2026 (Singapura – Port Klang – Phuket – High Seas – Singapura) dan 26 hingga 30 Januari 2026 (Port Klang – Phuket – High Seas – Singapura – Port Klang).
Tempahan kini dibuka melalui agen rasmi dengan harga bermula RM2,588, peminat boleh menghubungi ejen rasmi SUKA Cruise seperti 365 Travel & Tours (012-390 3560 / 019-600 2553), Afrina Batrisyia Travel & Tour (017-466 5699 / 012-341 1786), Dazzle Travel (012-316 4401 / 016-312 8471), Flywind Holidays (017-541 2350), Prima One Holidays (013-248 8719), Prides Tour (010-468 0708 / 019-269 2918) dan Wani Don Holidays (013-775 6995).
Jangan lepaskan peluang berlayar bersama legenda KRU dalam pengalaman muzik dan pelancongan yang tiada tandingan ini.




