Ikuti Kami:

Standing In The Eyes Of The World, Gemilang Pukau 50,000 Penonton Di Bukit Jalil

Standing In The Eyes Of The World, Gemilang Pukau 50,000 Penonton Di Bukit Jalil

FOTO: Papadin.

Stadium Nasional Bukit Jalil (SNBJ) malam tadi saksi kepada sebuah naskhah persembahan yang bukan sahaja meraikan legasi 40 tahun Ratu Rock negara, Ella, malah menyatukan lebih 50,000 jiwa dalam satu lautan emosi yang cukup luar biasa.

Melalui konsert berskala mega, Majlis Tertinggi Rockqueen, Ella atau nama sebenarnya Nor Zila Aminuddin, 60, membuktikan bahawa “aura” yang dimilikinya belum pudar, malah semakin ampuh ditelan usia apabila stadium keramat itu ‘bergetar’ dengan sorakan peminat pelbagai generasi.

Detik paling ikonik yang mencuri tumpuan adalah apabila Ella mendendangkan lagu malar segar, Standing In The Eyes Of The World. Lagu yang pernah menjadi lagu tema rasmi Sukan Komanwel 1998 itu bukan sekadar nyanyian, tetapi sebuah kembara masa buat peminat yang hadir.

Suasana bertambah gamat apabila Ella tampil berarak di atas sebuah bas khas mengelilingi stadium bersama barisan atlet negara, mengulangi magis keraian sukan yang pernah mewarnai bumi Malaysia kira-kira 28 tahun lalu.

Dari sudut teknikal, penganjur wajar dipuji apabila mempertaruhkan teknologi pemetaan cahaya dan skrin gergasi berdefinisi tinggi, sekali gus memberikan pengalaman audio-visual yang mempesonakan di setiap sudut stadium.

Malam yang penuh warna itu turut dimeriahkan dengan kehadiran rakan seperjuangan dan bintang muda, antaranya Tam Spider, Amir Masdi, dan Sam Bunkface dan kemunculan figura hip-hop, Joe Flizzow dan legenda rock tanah air, Amy Search, yang menggegarkan pentas menerusi kolaborasi bertenaga.

Sepanjang lebih dua jam persembahan, Ella tidak menunjukkan tanda-tanda keletihan apabila menyampaikan lebih 25 buah lagu hits, termasuk Layar Impian, Pengemis Cinta, Kesal, Bayangan dan lagu malar segar PPP (Permata Pemotong Permata).

Kemuncak konsert dicapai apabila lagu Gemilang berkumandang sebagai penutup tirai. Pemilihan lagu ini mempunyai signifikan besar dalam sejarah sukan negara, memandangkan ia pernah dipersembahkan secara langsung oleh Ella dalam upacara penutupan Sukan SEA ke-29 pada tahun 2017 di lokasi yang sama.

Kejayaan konsert malam tadi bukan sekadar satu lagi catatan dalam profil seni Ella, tetapi ia berdiri sebagai simbol penyatuan rakyat Malaysia melalui bahasa muzik. Ternyata, selepas empat dekad, hanya ada satu Ella Ratu Rock sejati yang tetap “Gemilang” di mata peminat.

Komen
Loading...