Penyanyi kelahiran Sabah, Stacy, mengumumkan bahawa dia tidak akan terlibat dalam konsert Sumandak Stars yang baru dilancarkan minggu lalu.
Stacy menjelaskan bahawa keputusan untuk tidak menyertai konsert itu telah dibuat lebih awal kerana konsert tersebut pada asalnya dikenali sebagai konsert Bella & Friends, dan dia sudah mempunyai perancangan kerja lain yang perlu diutamakan.
“Untuk Konsert Sumandak Stars, saya sudah menolak sejak awal kerana konsert itu pada asalnya dikenali sebagai konsert Bella & Friends. Oleh itu, saya telah menolak tawaran tersebut kerana memikirkan tentang kerja yang perlu saya lakukan, dan saya sudah mempunyai perancangan kerja sendiri.
“Apabila mereka menukar nama kepada Sumandak Stars, saya sekali lagi menyatakan bahawa saya tidak dapat menyertai kerana saya tidak ingin terlibat dalam konsert Bella & Friends,” tambahnya.
Menyentuh mengenai pengumuman tersebut, Stacy mengakui bahawa dia terkejut melihat gambarnya di media sosial.
“Saya agak terkejut kerana rasanya saya telah menjelaskan apa yang boleh dan apa yang tidak boleh. Memandangkan saya tidak terikat dengan sebarang kontrak, dan saya mendengar bahawa saya adalah orang terakhir yang dimaklumkan, saya merasa ada ruang untuk menarik diri,” ujarnya.
Mengenai gambar poster konsert, Stacy pada awalnya menganggap ia adalah kesalahan teknikal dari pihak penganjur. Namun, timbul rasa terkilan dalam dirinya apabila mendapat tahu bahawa gambar itu sudah ada dalam draf pertama sejak awal lagi.
Pihak pengurusan Stacy, Rythm and Rhyme Entertainment, menerusi hantaran di Instagram pada hari Jumaat, menyatakan bahawa Stacy tidak akan terlibat dalam Konsert Sumandak Stars.
Terdahulu, Bella Astillah menjawab isu mengenai gambarnya yang lebih menonjol di poster konsert berbanding artis-artis lain.
Dalam hantaran terkini di Instagram penganjur Orange International, poster terbaru telah dikeluarkan tanpa kehadiran Stacy, dan semua gambar artis lain disusun dengan saiz yang sama.