Penyanyi terkenal Stacy Anam tampil menjelaskan situasi sebenar berhubung dakwaan kononnya dia berselisih faham dengan Bella Astillah berikutan keputusannya menarik diri daripada Konsert A Night With Sumandak Stars.
Menepis dakwaan itu, Stacy menegaskan hubungan mereka tetap baik seperti biasa dan tidak pernah timbul isu bermasam muka.
“Tetapi kalau terjumpa pun mustahil nak bermasam muka. Lucu. Sebab saya pun dah tua. Dia (Bella) pun dah tua. Dia pun sudah ada anak. Relaks-relaks sahaja. Kan Bella?” katanya sambil berseloroh.
Stacy turut menjelaskan bahawa karakter “diva” hanya wujud ketika dia berada di atas pentas untuk memberikan persembahan terbaik kepada peminat.
“Saya hanya menjadi diva sewaktu berada di atas pentas membuat persembahan. Semua orang tahu latar belakang saya sebelum bergelar penyanyi. Saya daripada keluarga miskin,” katanya, merujuk kepada perjalanan hidupnya yang penuh liku sebelum mengecap kejayaan.
Sebagai isteri kepada penyanyi Akim Ahmad dan ibu kepada tiga cahaya mata, Stacy menyatakan dia kini lebih matang dalam menghadapi gosip dan kritikan.
“Saya juga sedar saya adalah Ummu Shaikhah, isteri kepada Akim Ahmad dan ibu kepada tiga orang anak. Saya tidak kisah dengan cakap-cakap orang. Sudah 16 tahun saya berada dalam industri ini. Saya sudah faham. Inilah industri hiburan,” tambahnya dengan nada tenang.
Stacy yang dikenali dengan kehebatan vokal dan tariannya berharap penjelasan ini dapat menjernihkan segala salah faham serta mengelakkan spekulasi berpanjangan dalam kalangan peminat dan netizen.
Konsert A Night With Sumandak Stars dijadual berlangsung pada 30 November ini dengan menampilkan barisan artis terkenal termasuk Bella Astillah.