SPRM Sita 11 Beg dan Jam Tangan Mewah Bernilai RM200,000 dari Pengasas Fashion Valet
- oleh Mohd Indera
- 1 bulan lalu
Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) baru-baru ini menyita 11 beg tangan dan seutas jam tangan mewah yang dianggarkan bernilai RM200,000 dari kediaman pengasas platform e-dagang Fashion Valet, Datin Vivy Yusof dan suaminya, Datuk Fadzaruddin Shah Anuar.
Memetik Astro Awani, sitaan dilakukan oleh SPRM selepas pasukan penguat kuasa menjalankan operasi di kediaman pasangan tersebut di Mont Kiara, Kuala Lumpur pada Rabu.
Sebelum itu, pasangan ini dilaporkan hadir ke pejabat SPRM sekitar jam 1 petang untuk memberi keterangan, dan seterusnya dibawa ke kediaman mereka pada jam 5.30 petang bagi tujuan penggeledahan.
“Serbuan ini melibatkan kehadiran 12 pegawai SPRM serta peguam pasangan tersebut. Penggeledahan berakhir kira-kira jam 8 malam, dan antara barangan yang disita adalah 11 beg tangan dan seutas jam tangan berjenama mewah dengan nilai keseluruhan dianggarkan sekitar RM200,000,” kata sumber tersebut.
Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki, turut mengesahkan operasi tersebut ketika dihubungi. Beliau memaklumkan bahawa kes ini disiasat di bawah Seksyen 18 Akta SPRM 2009.
Azam juga menambah bahawa pasangan ini dijangka hadir sekali lagi ke pejabat SPRM esok pada jam 10 pagi untuk meneruskan proses rakaman keterangan.