SPRM Bekukan Akaun Bernilai RM1.1 Juta Milik Pengasas FashionValet, Vivy Yusof dan Fadzaruddin Shah
- oleh Mohd Indera
- 2 minggu lalu
Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) telah membekukan beberapa akaun bank persendirian dan syarikat milik pengasas platform e-dagang, FashionValet, Datin Vivy Yusof dan Datuk Fadzaruddin Shah Anuar, dengan jumlah keseluruhan kira-kira RM1.1 juta.
Pembekuan akaun tersebut dilakukan berikutan siasatan SPRM terhadap pasangan suami isteri itu yang berkaitan dengan kerugian pelaburan dana Khazanah Nasional Bhd (Khazanah) dan Permodalan Nasional Bhd (PNB) yang mencecah RM43.9 juta.
Memetik Astro Awani, siasatan yang dijalankan melalui operasi ‘Op Favish’ telah menyebabkan SPRM membekukan sebanyak 11 akaun persendirian dan enam akaun syarikat milik mereka, yang keseluruhannya bernilai RM1.1 juta. Langkah ini diambil bagi membantu proses penyiasatan.
“SPRM juga telah merakam keterangan daripada beberapa individu penting termasuk pegawai kanan Khazanah, PNB, FashionValet, akauntan, penilai syarikat, dan pencadang (introducer)” ujar sumber tersebut.
Sementara itu, Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki, mengesahkan pembekuan akaun berkenaan dan menjelaskan bahawa kes ini sedang disiasat di bawah Seksyen 18 Akta SPRM 2009.
Pada Isnin lalu, SPRM turut melakukan serbuan serentak ke atas beberapa lokasi termasuk FashionValet Sdn Bhd, Kementerian Kewangan (MOF), Khazanah, dan PNB, serta merampas dokumen-dokumen kewangan yang dijangka membantu dalam siasatan lanjut.