Ikuti Kami:

SPM 2025: PTTI Cipta Rekod 534 Pelajar Raih Straight A, Terima Pengiktirafan Ketiga MBOR

SPM 2025: PTTI Cipta Rekod 534 Pelajar Raih Straight A, Terima Pengiktirafan Ketiga MBOR

PTTI Group Sdn. Bhd. (PTTI) terus mengukuhkan dominasinya dalam landskap pendidikan digital negara apabila berjaya melahirkan seramai 534 pelajar yang memperoleh keputusan ‘Straight A’ dalam peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2025.

Pencapaian luar biasa itu sekali gus membolehkan pusat kelestarian akademik berkenaan menerima pengiktirafan daripada The Malaysia Book of Records (MBOR) buat kali ketiga, selepas kejayaan serupa pada tahun 2022 dan 2024.

Ketua Pegawai Eksekutif PTTI, Siti Farhana Abu Osman, berkata kejayaan itu adalah hasil komitmen berterusan pihaknya yang sentiasa memfokuskan kepada hasil kemenjadian pelajar melampaui silibus pembelajaran semata-mata.

Menurutnya, secara keseluruhan sebanyak 31,987 gred A berjaya direkodkan oleh pelajar di bawah bimbingan PTTI bagi subjek yang diambil dalam SPM 2025.

“Kejayaan ini mencerminkan dedikasi kami dalam memastikan setiap pelajar mampu mencapai potensi sebenar mereka. Tahun lalu sahaja, seramai 158,423 pelajar telah mendapat manfaat melalui pelbagai program seminar SPM yang kami anjurkan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pada Majlis Anugerah Inspirasi 2026 yang berlangsung di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC), di sini hari ini.

Majlis yang dihadiri lebih 4,000 pelajar dan ibu bapa itu dirasmikan oleh Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman bagi sesi pagi, manakala sesi petang disempurnakan oleh Tan Sri Syed Zainal Abidin Syed Mohamed Tahir.

Sementara itu, Syed Saddiq menyifatkan pencapaian PTTI sebagai satu “revolusi pendidikan” yang wajar diberi sokongan kerana berjaya meruntuhkan tembok halangan geografi melalui platform digital.

“Mendapat pengiktirafan MBOR sebanyak tiga kali bukan satu perkara mudah. Apa yang lebih penting adalah bagaimana PTTI memberikan akses kepada guru-guru terbaik (top 0.1 peratus) kepada pelajar di luar bandar dengan kos yang berpatutan.

“Kejayaan ini juga membuktikan bahawa pelajar yang cemerlang bukan hanya tertumpu kepada akademik, malah mereka mempunyai disiplin yang luar biasa untuk mengimbangi pelbagai tanggungjawab lain,” katanya.

Antara penerima anugerah yang mencuri tumpuan ialah penyanyi remaja popular, Alyssa Dezek, yang membuktikan kesibukan dalam dunia seni bukan penghalang untuk meraih keputusan cemerlang 9A.

“Teknik pengajaran di PTTI sangat jelas dan mudah difahami walaupun dalam masa singkat. Saya mula menyertai mereka sejak Tingkatan Tiga dan Alhamdulillah, sokongan keluarga serta guru-guru di sini membolehkan saya mencapai keputusan ini,” kata Alyssa.

Selain itu, kisah inspirasi turut dikongsi oleh Armaan Aqil Mohammed Ackmal yang berjaya memperoleh 11A meskipun pernah mendapat gred G dalam subjek Kimia ketika peperiksaan pertengahan tahun.

Dalam pada itu, Pengarah PTTI, Asyraf Khalid, menegaskan pihaknya tidak akan berhenti setakat ini, malah meletakkan sasaran lebih tinggi untuk melahirkan 1,000 pelajar ‘Straight A’ pada masa hadapan.

Sebagai tanda penghargaan ke atas sokongan masyarakat, PTTI mengumumkan penganjuran Seminar Percuma SPM di seluruh negara bermula 4 hingga 10 Mei ini yang boleh didaftar melalui laman sesawang rasmi mereka.