Kumpulan rock, SPIDER, mencipta satu malam penuh emosi dan nostalgia menerusi konsert SPIDER UNPLUGGED yang berlangsung dengan jayanya di MegaStar Arena, Kuala Lumpur, malam tadi.
Vokalis utama SPIDER, Rustam Mustafah atau lebih dikenali sebagai Tam, meluahkan rasa terharu dan gembira apabila impian mereka untuk menjayakan konsert dalam format UNPLUGGED akhirnya menjadi kenyataan selepas sekian lama diidamkan.
“Satu malam yang membuat kenangan paling indah untuk saya. Konsert UNPLUGGED ini memang sudah lama kami impikan. Apabila berbincang dengan pihak penganjur, mereka terus bersetuju dan menyokong idea ini.” ujar Tam di hadapan ribuan peminat.

Menampilkan 24 lagu yang mendapat sentuhan pengarah muzik Firdaus Mahmud, yang menyusun semula lagu SPIDER dengan gaya akustik yang lebih segar.
Wakil penganjur Naga Legend Entertainment, Fandy Alias, berkata konsert tersebut merupakan percubaan pertama SPIDER dalam konsep UNPLUGGED, dan yakin ia menjadi detik bersejarah buat kumpulan serta peminat mereka.
“Konsep UNPLUGGED yang kami bawakan ini pertama kali dilaksanakan bersama SPIDER. Kami percaya hasilnya benar-benar istimewa dan akan menjadi antara momen terbaik yang pernah disaksikan peminat mereka,” katanya.

Antara lagu yang dipersembahkan termasuk Rasakan Resapkan, Kau Saja, Kacap Terlabik, Sumpah Tak Buat Lagi, Mama, Waduh Tijah, Impian Seorang Nelayan (lagu asal Kembara), Nak Lantak, Telinga Ke Tulang, Mabok, Kekal serta Lagu Jangan Kau Berputus Asa turut didedikasikan khas buat rakyat Palestin di Gaza yang masih berdepan pergolakan.
Tidak ketinggalan lagu-lagu kegemaran peminat seperti Aladin, Ngam Ho, Bila Nak Saksi, Laukku Cukup Masin, Tapi Bagaimana, Kasih Latifah, Relaku Pujuk, Buat Sang Puteri, Cinta Dewa Dewi dan Nazraku.
SPIDER turut mempersembahkan lagu baharu berjudul Sungguh Ku Telah Jatuh Cinta sebagai hadiah istimewa buat peminat.
Sebagai penutup, ‘Mungkinkah Terjadi’ dipilih sebagai lagu ‘encore’, membuatkan ribuan penonton enggan berganjak dengan sorakan dan nyanyian bersama bergema memenuhi dewan, menandakan berakhirnya satu malam bersejarah buat SPIDER dan peminat setia mereka.
SPIDER UNPLUGGED menampilkan Tam (vokal), Aie (dram), Iss (bass) dan Pown (gitar), disokong oleh Firdaus Mahmud (keyboard), Paang Zaman (perkusi) serta tiga pemain horn iaitu Weed, Wan dan Asri, dengan gandingan string diketuai oleh Rafi Mohd.




