Spider Unplugged Janji Persembahan Luar Biasa, Bukan Sekadar Akustik Biasa
- oleh Mohd Indera
- 1 hari lalu

Bukan sekadar kembali ke pentas, Kumpulan rock legenda Spider tampil dengan kelainan menerusi Spider Unplugged yang akan berlangsung pada 25 Oktober 2025 di Mega Star Arena, Kuala Lumpur, menjanjikan persembahan yang jauh daripada kebiasaan.
Dianjurkan oleh Naga Legend Entertainment, konsert ini bukan hanya menampilkan karya ikonik Spider seperti Relaku Pujuk, Aladdin, Kasih Latifah, dan Cinta Dewa Dewi dalam versi akustik, malah bakal membawakan susunan muzik baharu yang lebih eksperimentasi dan segar.
Menurut wakil penganjur, Fandy Alias, idea untuk menganjurkan Spider Unplugged datang daripada keinginan untuk menampilkan sisi berbeza kumpulan tersebut.
“Konsep unplugged ini bukan seperti kebiasaan. Kami gabungkan elemen unik termasuk beberapa gaya muzik yang tidak dijangka. Ada sedikit ‘joget style’, ada pengaruh bunyi distortion yang tetap lembut. Ia akan menjadi pengalaman muzik yang betul-betul berbeza,” katanya di sidang media Spider Unplugged yang diadakan di Ideas Hotel Kuala Lumpur hari ini.
Tambahnya, Spider Unplugged bukan sekadar satu konsert biasa, tetapi satu pentas eksklusif yang dirancang rapi dari segi konsep, susunan muzik dan elemen teknikal.
Sementara itu, vokalis Spider, Tam, menjelaskan bahawa konsert ini merupakan cabaran besar buat mereka, tetapi sesuatu yang mereka nanti-nantikan.
“Kita tak mahu naik pentas sekadar ‘goreng lagu’ dan balik. Spider sentiasa mementingkan kualiti. Persembahan ini adalah tentang memberikan sesuatu yang terbaik, dari segi bunyi, persembahan dan pengalaman kepada peminat,” ujarnya.
“Lagu-lagu Spider kebanyakannya berentak pantas. Jadi untuk tukar kepada versi akustik memang mencabar. Tapi di situlah terletaknya nilai konsert ini, ia luar biasa,” tambahnya.
Spider yang kini dianggotai oleh Tam (vokal), Aie (dram), Iss (bes) dan Pown (gitar) telah berada dalam industri selama 29 tahun, meninggalkan impak besar dalam muzik rock tanah air.
Tiket konsert Spider Unplugged dijual pada harga antara RM198 hingga RM388, mengikut kategori tempat duduk, dan boleh didapati melalui laman web: www.ilassotickets.com/spiderunplugged
Spider Unplugged bakal menjadi detik istimewa buat peminat setia yang mengharapkan bukan sekadar persembahan muzik, tetapi pengalaman yang benar-benar memberi makna.