Spider Raikan 2 Dekad Dengan Konsert Unplugged di Mega Star Arena Oktober Ini
- oleh Mohd Indera
- 1 hari lalu

Kumpulan rock legenda tanah air, Spider, bakal meraikan perjalanan seni mereka selama lebih dua dekad menerusi penganjuran konsert eksklusif berkonsepkan unplugged yang dijadualkan berlangsung pada 25 Oktober 2025 di Mega Star Arena, Kuala Lumpur.
Dikenali dengan gaya muzik rock yang disulami elemen ska dan lirik yang puitis, Spider telah mencipta pelbagai kejayaan sejak mula menapak dalam industri hiburan pada 1996.
Kini, selepas hampir 30 tahun, mereka bersedia memberikan pengalaman muzik yang lebih intim dan istimewa kepada para peminat melalui SPIDER UNPLUGGED CONCERT.
Menurut wakil penganjur, Fandy Alias dari Naga Legend Entertainment, konsert ini bukan sekadar persembahan biasa tetapi satu penghargaan terhadap kredibiliti Spider sebagai kugiran yang konsisten menghasilkan karya bermutu sepanjang dua dekad.
“Kami sangat berbesar hati apabila Spider menerima pelawaan kami untuk menjayakan konsert unplugged ini. Ia bakal menampilkan sisi lain Spider yang lebih dekat dengan jiwa, dengan persembahan akustik yang pastinya ‘mewah’ dan penuh emosi,” kata Fandy.
Spider, yang dianggotai oleh Tam (vokal), Aie (dram), Iss (bass) dan Pown (gitar), menyatakan bahawa mereka sangat berhati-hati dalam memilih konsep konsert. Bagi mereka, setiap persembahan harus mempunyai identiti dan nilai yang berbeza.
“Kami tak mahu buat konsert hanya sebab nak ikut trend. Kalau kami naik pentas, kami mahu peminat rasa sesuatu yang berbaloi. Konsert unplugged ini ialah peluang untuk kami tampil lebih jujur secara muzikal dan mendekati peminat dalam suasana yang lebih peribadi,” ujar Tam mewakili kumpulan.
Sepanjang karier mereka, Spider telah mencipta pelbagai lagu ikonik seperti Aladdin, Relaku Pujuk, Nazraku, Cinta Dewa Dewi dan Kasih Latifah.
Mereka juga pernah merangkul Juara Lagu 2004 dan Album Pop Rock Terbaik di Anugerah Industri Muzik 2005, membuktikan kekuatan serta daya tahan kumpulan ini dalam industri yang penuh cabaran.
Tiket untuk SPIDER UNPLUGGED CONCERT akan mula dijual bermula 25 April 2025 jam 3 petang di laman web rasmi www.ilassotickets.com/spiderunplugged.
Harga tiket ditawarkan dalam julat RM198 hingga RM388, bergantung kepada kategori tempat duduk yang dipilih.
Peminat disarankan untuk mendapatkan tiket lebih awal bagi mengelakkan kekecewaan, memandangkan permintaan dijangka tinggi seperti konsert-konsert Spider sebelum ini yang sentiasa ‘pecah panggung’.