SoundCircus 2026 Tampil 54 Pemuzik Serantau pada Ogos Ini
- oleh MDaily Editor
- 13 Mar 2026 12:52 pm
Festival SoundCircus (SCF2026) kembali menggegar dengan skala lebih besar apabila bakal menghimpunkan seramai 54 pemuzik dari Malaysia, Indonesia, Singapura, dan Jepun sempena sambutan edisi ke-15 Art of Speed 2026 (AOS 2026).
Acara yang dijadualkan berlangsung pada 1 dan 2 Ogos depan di Taman Ekspo Agro Malaysia, Serdang (MAEPS) itu turut memperkenalkan beberapa konsep persembahan unik yang pertama kali diperkenalkan dalam sejarah penganjurannya.
Antara yang mencuri tumpuan adalah segmen ‘Dikir Kustom’, sebuah gabungan muzik rakyat tempatan yang dibawakan oleh penyampai radio terkenal, Issey bersama kumpulan The Clique, yang menyuntik elemen budaya kustom ke dalam seni dikir barat.
Selain itu, buat julung kalinya, pentas SoundCircus akan menyaksikan penyatuan dua generasi ayah dan anak menerusi segmen ‘Power Pop Yeah Yeah’ yang menampilkan kumpulan Couple dan lagenda Adnan Othman.

Pengarah Festival Art of Speed Malaysia (AOSM), Asep Ahmad Iskandar, berkata edisi tahun ini merupakan evolusi signifikan kepada industri kreatif negara dengan pengenalan enam pentas persembahan di kawasan seluas empat ekar.
“Kami berbangga membawa SoundCircus kembali ke MAEPS. Sejak 2017, ia menjadi platform khas bagi menyokong bakat arus perdana mahupun ‘underground’. Tahun ini, kami tawarkan kepelbagaian artistik yang lebih luas buat pengunjung,” katanya.
Turut menjadi kemuncak acara adalah segmen ‘Takhta Ratu Nusantara’ yang menggabungkan dua ratu rock berbeza negara, Cokelat dari Indonesia dan Ella dari Malaysia, di atas satu pentas.
Peminat rock juga bakal disajikan dengan kolaborasi ‘Legends X Renegades’ melibatkan kumpulan Jemson dan Def Gab C.
Bagi peminat muzik tegar, sambutan ’30 Years of Asian Hardcore’ dan ulang tahun kumpulan Slatan menerusi segmen ‘010.8 FM Present: Hari Slatan’ dijangka menjadi daya tarikan utama.

Antara barisan artis lain yang disahkan menyertai festival ini termasuklah Masdo, Nadin Amizah, Tenxi, Iqbal M, The Jansen, dan ramai lagi pemuzik dari Singapura serta Jepun seperti Johnny Pandora.
Penganjuran kali ini turut mendapat kerjasama strategik Tourism Selangor bagi meletakkan negeri itu sebagai hab pelancongan kebudayaan dan gaya hidup berskala besar di rantau ini.
Tiket bagi fasa kedua mula dijual pada 12 Mac (semalam) dengan harga bermula RM149.00 bagi kemasukan umum (GA) dan RM199.00 bagi zon rock (RZ) menerusi laman web rasmi penganjur.




