Sos Ibu Jejak Pasaran Brunei, Dato’ Khadijah Ibrahim Kongsi Kenangan Bersama Peminat
- oleh Mohd Indera
- 1 hari lalu

Produk tempatan berasaskan resipi tradisional, Sos Ibu, kini secara rasmi menjejakkan kaki ke pasaran Brunei menerusi pelancaran eksklusif oleh pemiliknya, penyanyi legenda tanah air Dato’ Khadijah Ibrahim, sempena Consumer Fair ICC Berakas baru-baru ini.
Sos cili premium yang diinspirasikan daripada warisan dapur tradisional keluarga itu diperkenalkan secara langsung kepada para pengunjung dan peminat, sekali gus mencuri perhatian ramai.
Majlis pelancaran tersebut bukan sahaja memperkenalkan produk baharu ke pasaran luar negara, malah membuka lembaran baharu buat Dato’ Khadijah dalam dunia keusahawanan.
“Saya sangat terharu dengan sambutan yang diberikan oleh rakyat Brunei. Ini adalah satu kenangan manis buat saya, lebih-lebih lagi apabila dapat memperkenalkan produk hasil air tangan saya sendiri di sini,” ujar Dato’ Khadijah dalam sesi temubual bersama media.
Sos Ibu mengekalkan rasa asli dan kepedasan seimbang, sesuai untuk pelbagai jenis hidangan tempatan mahupun moden.
Ia bakal mula dijual di beberapa pasar raya besar di Brunei dalam masa terdekat melalui rakan pengedaran tempatan. Berdasarkan maklum balas awal yang amat positif, pihak pengurusan turut merancang untuk memperluaskan pengedaran ke negara jiran dalam masa terdekat.
Pelancaran Sos Ibu diserikan lagi dengan sesi ramah mesra bersama peminat yang hadir dari seluruh pelusuk Brunei. Dato’ Khadijah tidak melepaskan peluang berinteraksi, bergambar, dan berkongsi cerita bersama peminat setia yang sudah lama menantikan kehadiran beliau.
Suasana penuh emosi dan nostalgia tercipta apabila peminat secara spontan menyanyikan lagu-lagu malar segar beliau seperti Doa Buat Kekasih dan Ku Gembira Di Sampingmu, menghidupkan semula kenangan manis era kegemilangan muzik 80an dan 90an.
Pelancaran ini membuktikan bahawa seni dan keusahawanan mampu bergerak seiring, dan Dato’ Khadijah merupakan contoh inspirasi bagaimana figura seni tempatan mampu menembusi pasaran antarabangsa melalui jenama sendiri.
Untuk maklumat lanjut mengenai Sos Ibu, orang ramai boleh melayari www.ibufood.com atau mengikuti perkembangan terkini melalui media sosial rasmi Dato’ Khadijah Ibrahim.