Ikuti Kami:

Sora Ungguli Game of Skate di Acara PUBG MOBILE Skate Jam Kuala Lumpur

Sora Ungguli Game of Skate di Acara PUBG MOBILE Skate Jam Kuala Lumpur

Aksi cemerlang pemain papan selaju tempatan, Sora, berjaya menarik perhatian apabila dinobatkan sebagai juara Game of Skate dalam acara PUBG MOBILE Skate Jam yang berlangsung meriah di 1 Utama Skate Park hujung minggu lalu.

Acara anjuran PUBG MOBILE itu bukan sahaja memperkenalkan ciri hoverboard baharu dalam Kemas Kini Versi 3.9, malah turut menjadi platform meraikan bakat-bakat muda serta komuniti papan selaju tempatan.

Lebih 200 pengunjung hadir bagi menyaksikan kehebatan para peserta yang bersaing sengit dalam pelbagai aktiviti sepanjang acara berkenaan.

Sebanyak 16 peserta bertanding secara penyingkiran tunggal dalam kejohanan Game of Skate yang menawarkan hadiah wang tunai keseluruhan RM5,000.

Sora membuktikan kehebatannya apabila menewaskan lawan dengan aksi kreatif dan penuh keyakinan. Tempat kedua dan ketiga masing-masing dimenangi oleh Gee dan Acap.

Menurut Eugene Chin, Pengurus Negara (Malaysia) bagi Tencent Games, kejayaan acara ini membuktikan keterbukaan komuniti terhadap penganjuran aktiviti yang menggabungkan dunia digital dan realiti.

“Kehadiran luar biasa dan semangat membara di acara ini benar-benar membanggakan kami. Ia satu kejayaan besar untuk komuniti permainan dan papan selaju di Malaysia, lebih-lebih lagi ketika kita meraikan ciri-ciri baharu dalam Kemas Kini Versi 3.9. Kami komited untuk terus mencipta pengalaman permainan yang menyeronokkan serta pengalaman dunia nyata yang memberi makna buat komuniti kami,” katanya.

Acara turut diserikan dengan cabaran Cash for Tricks, yang menyaksikan peserta mempamerkan kebolehan mereka bagi merebut hadiah wang tunai yang ditawarkan.

Sepanjang acara berlangsung, pengunjung juga berpeluang memenangi pelbagai hadiah eksklusif berkaitan papan selaju melalui sesi cabutan bertuah.

Turut memeriahkan acara ialah kehadiran personaliti papan selaju popular, Daddyhood dan Nizar/Ja, selain sokongan daripada pasukan Homebois PUBG MOBILE dan Thieves Skateboards yang menzahirkan perpaduan komuniti sukan ekstrem dan permainan video tempatan.

Selain kejayaan Sora, peminat PUBG MOBILE turut berpeluang merasai keterujaan Kemas Kini Versi 3.9 yang membawakan kolaborasi bersama TRANSFORMERS ke dalam permainan.

Pemain boleh bertempur bersama Optimus Prime atau Megatron untuk membuka ganjaran eksklusif, bergerak di medan tempur dengan Cosmic Hoverboard serta meneroka Neon Outpost, sebuah pos futuristik bertema siberpunk yang dipenuhi cahaya neon.

Kemas Kini Versi 3.9 PUBG MOBILE kini boleh dimuat turun secara percuma di App Store dan Google Play Store sehingga 2 September 2025.

Komen
Loading...