Ikuti Kami:

Songket Hijau ‘Terbang’ di Bukit Jalil, Bianca Bella Lakar Sejarah Bersama Siti Nurhaliza

Songket Hijau ‘Terbang’ di Bukit Jalil, Bianca Bella Lakar Sejarah Bersama Siti Nurhaliza

Konsert Legacy 30 Siti Nurhaliza yang berlangsung di Stadium Nasional Bukit Jalil baru-baru ini bukan sekadar meraikan tiga dekad kegemilangan Biduanita Negara itu, malah ia menjadi saksi kepada pencapaian luar biasa jenama fesyen dari Melaka, Bianca Bella.

Busana songket rona hijau zamrud rekaan mereka terpilih sebagai persalinan segmen penutup yang ikonik, sekali gus memukau pandangan lebih 65,000 penonton yang membanjiri stadium keramat tersebut.

Pengasas Bersama Bianca Bella, Amirul Safwan Nordin, menyifatkan peluang tersebut sebagai satu penghormatan tertinggi sepanjang penglibatan mereka dalam industri fesyen tanah air.

“Kami benar-benar tidak menyangka. Apabila menerima pesanan WhatsApp daripada pengurus Datuk Seri Siti Nurhaliza, Rozi Abdul Razak dua bulan sebelum konsert, kami sedar ini bukan busana biasa. Ini adalah busana untuk satu sejarah besar,” katanya kepada Berita Harian.

Mengulas mengenai perincian busana tersebut, Amirul menjelaskan rekaan itu mengangkat inspirasi pakaian tradisi Puteri Perak yang digabungkan dengan elemen moden ala ‘Miss World’.

Menggunakan material songket tempatan dengan perincian manik jahitan tangan yang rumit, busana itu direka khas untuk memudahkan pergerakan Siti Nurhaliza yang lincah di atas pentas.

“Paling penting adalah potongan baju tersebut. Ia perlu praktikal kerana beliau perlu bergerak, menari, dan melakukan aksi di atas pentas gergasi itu,” tambahnya.

Detik paling manis buat pasukan yang dianggotai 10 orang itu adalah apabila suami Siti Nurhaliza, Datuk Seri Khalid Mohamad Jiwa (Datuk K), memberikan pujian peribadi terhadap kualiti dan kemewahan material songket yang digunakan sebaik melihatnya pada sesi raptai penuh.

Kemuncak kepada keberkesanan rekaan tersebut terbukti apabila Siti Nurhaliza melakukan aksi spontan ‘lompat keluar’ ke atas pentas semasa segmen penutup.

Momen tersebut tular di media sosial dan menjadi bualan hangat peminat kerana kelincahan penyanyi itu walaupun menggayakan busana tradisional yang gah.

“Melihat rekaan kami dipakai pada detik penutup dan merakam momen itu secara langsung adalah sesuatu yang tidak mampu diungkap dengan kata-kata.

“Kami yang dahulunya hanya melihat beliau dari jauh sejak kecil, kini menjadi sebahagian daripada episod sejarah seni penyanyi nombor satu negara,” katanya dengan nada emosi.

Di sebalik kemegahan busana tersebut, Bianca Bella turut mendedahkan kisah menyentuh hati mengenai keperibadian Siti Nurhaliza.

Menurut Amirul, penyanyi lagu Menamakanmu Cinta itu sangat memudahkan urusan kerja sehingga menawarkan diri untuk membawa mesin jahit dari rumah sekiranya perlu dilakukan sebarang alterasi saat akhir.

“Tak mudah seorang Biduanita Negara sanggup menawarkan untuk bawa mesin jahit sendiri ke belakang pentas. Itulah sebabnya beliau sangat disayangi semua,” kongsinya.

Ditubuhkan pada tahun 2022 di Duyung, Melaka, Bianca Bella kini merancang untuk terus memartabatkan fabrik warisan melalui koleksi songket moden dan Ready-To-Wear (RTW) nikah tidak lama lagi.

Komen
Loading...