
Penyanyi rap dan penerbit terkenal, SonaOne, kembali merancakkan industri muzik tempatan dengan single terbaharunya berjudul “Stamina”, sebuah lagu yang menyentuh soal ketahanan emosi dan usaha mengekalkan ketenangan di tengah kekalutan jiwa.
Berbeza daripada karya-karya sebelumnya, “Stamina” memperlihatkan sisi lebih matang dan reflektif SonaOne, yang membawa pendengar menyelami perasaan menahan diri daripada meluahkan rasa.
Lagu ini hadir sebagai luahan jujur tentang kekuatan dalaman ketika berdepan detik tidak pasti dalam hubungan dan kehidupan.
“Ia tentang mengekalkan ‘cool’ dalam situasi sukar. Bila kita nak luah, tapi kita tahan, berharap orang tu tak hilang begitu saja. Ini stamina emosi, ketahanan hati, bukan fizikal semata-mata,” katanya.
Proses pembikinan lagu bermula secara spontan, bermula dengan hook “mmm mmm mmm” yang dirakam tanpa perancangan namun kekal dalam versi akhir. SonaOne turut dibantu oleh K1O yang memperkemas beberapa baris akhir, manakala Wolfy pula menyusun semula struktur lagu daripada draf asal.
“Kadang-kadang lagu terbaik datang bila kita berhenti cuba dan biarkan ia mengalir. Demo ‘Stamina’ sendiri sudah memiliki jiwa. Kami hanya memperindahkannya tanpa menghilangkan perasaannya,” jelasnya.
SonaOne berkata lagu ini hanyalah permulaan kepada fasa baharunya sebagai artis yang kini lebih yakin untuk berkarya mengikut naluri dan gaya sendiri.
Beliau juga memberi bayangan mengenai projek seterusnya di bawah siri “Kenobi season” yang bakal menampilkan lebih banyak muzik, visual dan naratif yang mendalam.
“Akan ada lebih banyak muzik, lebih banyak visual dan lebih banyak cerita. Sekarang saya lebih yakin nak berkarya dengan cara saya sendiri. Tiada gimik, tiada sensasi palsu, hanya karya jujur dengan produksi yang berkualiti. Kalau lagu ni kena tepat dengan perasaan para pendengar, itu dah cukup bagi saya.” katanya.
“Stamina” kini boleh didengari di semua platform penstriman digital.