
Penyanyi alt-pop kelahiran New York, sombr, bakal melancarkan album debutnya berjudul I Barely Know Her pada 22 Ogos ini menerusi Warner Records.
Album sulung itu ditulis sepenuhnya oleh sombr, atau nama sebenarnya Shane, dan diterbitkan bersama penerbit terkenal Tony Berg.
Warner Music Malaysia dalam satu kenyataan berkata album tersebut dijangka memperkukuh lagi pengaruh sombr di rantau Asia susulan kejayaan besar di pentas antarabangsa.
“Album I Barely Know Her menampilkan sisi paling jujur sombr sebagai penulis lagu dan penyanyi muda. Kami percaya karya ini akan mendapat tempat di hati peminat muzik alternatif di Malaysia, sekali gus memperluaskan pengaruhnya di Asia Tenggara,” menurut kenyataan itu.
Sombr mula dikenali menerusi single debut Caroline yang mencatat lebih sejuta strim pada minggu pertama pelancaran dan kini melepasi 38 juta strim di Spotify. Antara karya lain yang berjaya termasuk Willow, Would’ve Been You dan Do I Ever Cross Your Mind.
Artis berusia 20 tahun itu turut disenaraikan dalam Billboard 21 Under 21 tahun ini, selain menerima pencalonan MTV Video Music Awards 2025 untuk kategori Artis Baharu Terbaik dan Video Alternatif Terbaik.
Single terbaharunya, 12 to 12, turut mendapat sambutan meluas dengan peningkatan pendengar bulanan di Spotify melebihi 3.6 juta.
Sombr sebelum ini menamatkan Jelajah Amerika Utara 2024 dengan persembahan habis jual di bandar utama termasuk New York, Los Angeles, Atlanta dan Toronto.