Industri perfileman tempatan sekali lagi mengukir kejayaan membanggakan apabila filem aksi E-sukan, “Soloz: Game of Life”, arahan Syafiq Yusof, disahkan bakal menembusi pasaran Thailand dan ditayangkan secara rasmi di lebih 80 buah pawagam di seluruh negara itu bermula hari ini.
Kejayaan ini menandakan satu pengiktirafan penting buat karya tempatan memandangkan pasaran Thailand dikenali sebagai sangat selektif terhadap filem antarabangsa.
Penerbit filem daripada Key Billions Sdn. Bhd., Rahila Ali, melahirkan rasa syukur dan bangga atas pencapaian yang tidak dijangka itu.
“Alhamdulillah, tidak pernah saya bayangkan filem ini mampu melangkah sehingga ke pasaran Thailand. Ini satu pengiktirafan besar buat Key Billions Sdn. Bhd. dan seluruh pasukan yang telah memberikan komitmen serta tenaga sepanjang proses penerbitan,” katanya dalam satu kenyataan media.
Rahila turut menyifatkan kejayaan ini sebagai satu pencapaian penting kerana filem Malaysia jarang berjaya menembusi pasaran negara Gajah Putih itu.
“Soloz: Game of Life” mengangkat kisah benar Muhammad Faris Zakaria atau Soloz, seorang ikon E-sukan negara yang mencipta nama besar dalam arena permainan mudah alih Mobile Legends: Bang Bang.
Rahila mendedahkan, usaha membawa filem itu ke Thailand bukanlah mudah, namun kekuatan naratif, visual yang mantap serta elemen emosi yang digarap berjaya meyakinkan rakan edaran tempatan.
“Pasaran Thailand sangat kompetitif dan mereka akan memilih filem luar dengan teliti. Namun, kami percaya kepada kekuatan cerita, visual dan emosi dalam filem ini,” ujarnya.

Bagi pasaran Thailand, Key Billions bekerjasama dengan Mstudio, sebuah syarikat pengedaran yang mempunyai rangkaian kukuh di pasaran tempatan dan antarabangsa.
Pihak Mstudio dilaporkan tertarik dengan gabungan lakonan sebenar serta elemen CGI yang memberikan sentuhan moden dan segar, dilihat berpotensi menarik minat penonton muda, terutamanya peminat Mobile Legends di Thailand.
Dalam memastikan pengalaman tontonan yang optimum dan lebih dekat dengan penonton di sana, filem yang dibintangi Hun Haqeem, Ikmal Amry, Jaa Suzuran, dan barisan pelakon hebat lain ini telah dialih suara sepenuhnya ke Bahasa Thai.
Awal minggu ini, satu acara Malam Gala dan Tayangan Perdana telah diadakan di Bangkok pada 2 Disember, dihadiri oleh pelakon utama, Hun Haqeem, bersama Pengasas dan Penerbit Eksekutif Key Billions Sdn. Bhd., Eddie Yap, individu yang bertanggungjawab membuka laluan pasaran di negara itu.
Rahila berharap kejayaan “Soloz: Game of Life” ini dapat membuka lebih banyak peluang untuk filem tempatan diterima dan dihargai di pasaran antarabangsa pada masa hadapan.




