Ikuti Kami:

Solat Berjemaah Dibenarkan Di Zon Hijau Wilayah Persekutuan

Solat Berjemaah Dibenarkan Di Zon Hijau Wilayah Persekutuan

Solat Jumaat dan solat berjemaah dibenarkan semula di masjid, Surau Jumaat dan surau terpilih dalam Zon Hijau COVID-19 di Wilayah Persekutuan secara berperingkat mulai esok, dengan bilangan jemaah minimum tiga orang tidak termasuk imam dan tidak melebihi 30 orang.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Senator Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri berkata kebenaran solat berjemaah itu termasuk bagi solat sunat tarawih dan solat sunat Hari Raya Aidilfitri.

Beliau berkata Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah telah menerima perkenan cadangan berkenaan yang terdahulu telah diteliti Jawatankuasa Muzakarah Khas Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia.

“Keputusan ini adalah selaras dengan keputusan Mesyuarat Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan pertemuan saya dengan Perdana Menteri pada 12 Mei lepas,” katanya pada sidang media khas di sini, hari ini.

Bagaimanapun, Zulkifli berkata bagi negeri-negeri selain Wilayah Persekutuan, keputusan untuk menerima pakai cadangan berkenaan bergantung kepada pihak berkuasa agama negeri masing-masing seperti mana ditetapkan Perlembagaan Persekutuan bahawa urusan berkaitan hal ehwal Islam berada di bawah bidang kuasa negeri di bawah naungan Raja-Raja bagi negeri-negeri.

Komen
Loading...