Sokongan Penonton dan Kerjasama Pasukan Kunci Kejayaan Blood Brothers – Sharnaaz
- oleh Mohd Indera
- 2 minggu lalu

Filem aksi tempatan, Blood Brothers: Bara Naga, mencatat sejarah baharu dalam industri perfileman Malaysia apabila berjaya mengumpul kutipan RM62 juta.
Pelakon utamanya, Sharnaaz Ahmad, menyatakan bahawa kejayaan ini adalah hasil gabungan sokongan luar biasa daripada penonton serta kerjasama erat antara pasukan produksi.
Sharnaaz atau Sharnaaz Ahmad Bin Basir Ahmad, 39, menekankan peranan penting penonton yang menjadi tulang belakang kepada kejayaan filem ini.
“Mereka yang membeli tiket dan menonton filem ini sehingga berulang kali adalah wira sebenar. Tanpa sokongan mereka, mustahil kita dapat mencapai angka sebegini,” ujar Sharnaaz.
Pelakon yang memegang watak Ghaz dalam filem ini turut mengakui bahawa kejayaan filem ini tidak akan tercapai tanpa dedikasi dan usaha bersama seluruh pasukan produksi.
“Hebatnya seorang pelakon, kalau dia tidak mendapat sokongan daripada satu sama lain, tidak mungkin sesuatu projek boleh berjaya. Setiap individu dalam pasukan, daripada pengarah, editor, jurutera bunyi, hingga kru teknikal, memainkan peranan penting untuk memastikan filem ini berada pada tahap kualiti tertinggi,” katanya kepada media selepas Blood Brothers Tawan Bukit Bintang pada Rabu.
Sharnaaz juga memuji pengarah filem ini, Syafiq Yusof, yang berjaya mengemudi pasukan produksi dengan cemerlang.
Menurutnya, visi Syafiq yang jelas dan kepimpinan yang kuat menjadikan Blood Brothers sebuah karya yang tidak hanya memukau dari segi visual tetapi juga berjaya menyentuh emosi penonton.
Tambahnya lagi, kejayaan besar Blood Brothers adalah bukti bahawa apabila penonton diberikan hiburan berkualiti, mereka akan memberikan sokongan penuh.
“Kita kena jaga penonton dengan memberikan kualiti yang terbaik. Hanya dengan itu kita dapat membalas kepercayaan mereka dan memastikan industri filem kita terus maju,” ujar Sharnaaz.
Terdahulu, pelakon-pelakon Blood Brothers: Bara Naga telah mencuri perhatian ramai apabila mereka mengadakan acara ‘walkabout’ di Bukit Bintang.
Acara tersebut menyaksikan mereka berinteraksi dengan ratusan peminat, selain mengumumkan kutipan terkini filem itu menerusi papan iklan digital di kawasan segitiga emas tersebut.
Turut sama hadir ialah Ketua Pegawai Eksekutif Rangkaian Televisyen Media Prima dan Primeworks Studios, Nini Yusof.
Filem yang diterbitkan oleh Skop Productions dengan kerjasama Primeworks Studios sebagai rakan pemasaran rasmi ini masih ditayangkan di pawagam seluruh Malaysia.
Kejayaan ini diharapkan dapat menjadi inspirasi kepada pembuat filem lain untuk terus menghasilkan karya yang mampu memikat hati penonton sambil mengekalkan standard kualiti yang tinggi.