Ikuti Kami:

Sofaz kini SecondPlan, Lancar Single ‘Berhari Raya’

Sofaz kini SecondPlan, Lancar Single ‘Berhari Raya’

Selepas melalui fasa penjenamaan semula, kumpulan yang sebelum ini dikenali sebagai Sofazr, kini kembali dengan identiti baharu iaitu SecondPlan bagi memeriahkan semula industri muzik tanah air.

Bagi meraikan langkah permulaan di bawah nama baharu, kumpulan itu tampil dengan buah tangan istimewa berupa single raya berjudul Berhari Raya.

Gitarisnya, Zimi berkata, keputusan melakukan penjenamaan semula itu dibuat berikutan perubahan keanggotaan kumpulan yang kini bergerak dengan empat ahli iaitu Zimi (gitaris), Amir (vokalis), One (pemain dram), dan Fairouz (bassis).

Menurut Zimi, walaupun Berhari Raya merupakan lagu pertama di bawah identiti SecondPlan, ia sebenarnya adalah lagu tema Syawal ketiga hasil karya mereka selepas Inilah Harinya dan Ingatan di Hari Raya.

“Lagu ini mengekalkan semangat Syawal yang ceria dan gembira dengan suntikan konsep light rock era 60-an untuk memberikan sentuhan nostalgia kepada pendengar.

“Menariknya, keseluruhan proses rakaman dan pembikinan lagu ini disiapkan dalam tempoh yang sangat singkat, iaitu sekitar dua hingga tiga hari sahaja,” katanya.

Tambah Zimi, single itu dihasilkan khusus sebagai tanda penghargaan buat peminat yang sentiasa setia menyokong perjalanan seni mereka selama ini.

“Kami menghasilkan lagu ini atas permintaan peminat, jadi kami hadiahkan Berhari Raya buat mereka,” ujarnya yang turut memberi bayangan bahawa SecondPlan akan terus aktif dengan pelancaran single terbaharu sejurus tamat musim perayaan nanti.

Lagu Berhari Raya terbitan Nova Music Malaysia sudah boleh distrim di semua platform penstriman muzik digital mulai hari ini, 27 Februari.

Muzik video rasmi lagu tersebut juga boleh ditonton di saluran YouTube ‘Nova Music Videos’ tidak lama lagi.

Loading...