“So Mucha” Tarikan Terbaru Kopi Saigon, Fasha & Aidil Kini Usahawan Kafe
- oleh Mohd Indera
- 7 Aug 2025 1:17 am

Pasangan selebriti popular, Fasha Sandha dan Aidil Aziz kini bergelar usahawan apabila membuka Signature Outlet Kopi Saigon mereka yang pertama di MyTOWN Cheras semalam.
Majlis pelancaran yang berlangsung meriah itu turut menyaksikan pengenalan menu terbaharu Kopi Saigon iaitu So Mucha yang merupakan koleksi minuman matcha premium yang menggabungkan rasa asli teh hijau dengan sentuhan moden pelbagai perisa.
Menampilkan slogan “It’s So Much’a More”, siri So Mucha hadir dengan lima variasi menarik iaitu Matcha Latte yang mengetengahkan rasa asli matcha gred upacara, Matcha Strawberry dengan kombinasi manis dan segar buah strawberi, Matcha Blueberry yang menawarkan rasa beri yang kaya dan unik, Matcha Yuzu dengan campuran citrus Jepun yang menyegarkan serta Matcha Sakura yang diinspirasikan oleh kelembutan bunga sakura.
Fasha dan Aidil yang dikenali sebagai peminum kopi tegar berkongsi keterujaan mereka menjadi sebahagian daripada keluarga besar Kopi Saigon.
“Kami memang penggemar kopi sejak dulu dan Kopi Saigon adalah antara jenama pilihan utama kami. Bila peluang ini datang kami terus ambil tanpa ragu. Harapan kami outlet ini akan jadi lokasi kegemaran peminat kopi dan pelanggan baharu” ujar Fasha.
Menurut Pengasas dan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Kopi Saigon Asyraf Kamal pelancaran So Mucha adalah simbol kepada komitmen berterusan jenama itu dalam memperkenalkan inovasi rasa.
“So Mucha adalah bukti komitmen kami untuk sentiasa berinovasi dan mengikuti cita rasa semasa. Ia bukan sekadar minuman baharu tetapi simbol kepada gaya hidup moden yang sihat dan bergaya” kata Asyraf.
Majlis pelancaran turut diserikan dengan kehadiran keluarga terdekat pihak media kelab peminat Fasha Sandha serta rakan-rakan artis ternama seperti Sheila Rusly dan suaminya Jinggo, Wawa Zainal, Kak KM serta pengarah terkenal Along Kamarudin.
Siri minuman So Mucha kini boleh didapati di semua cawangan Kopi Saigon di seluruh Malaysia termasuk di Signature Outlet MyTOWN Cheras milik Fasha Sandha dan Aidil Aziz.