Ikuti Kami:

SNCC Sahkan 12 Delegasi Malaysia Ditahan, Flotila Gaza Dipintas Tentera Israel

SNCC Sahkan 12 Delegasi Malaysia Ditahan, Flotila Gaza Dipintas Tentera Israel

Seramai 12 delegasi Malaysia yang menyertai misi kemanusiaan flotila ke Gaza disahkan ditahan selepas kapal mereka dipintas tentera rejim Israel di perairan antarabangsa, awal pagi tadi.

Menurut laporan rasmi Sumud Nusantara Command Center (SNCC) pada jam 11.30 pagi, insiden intimidasi pertama berlaku sekitar jam 1.20 pagi waktu Malaysia melibatkan kapal Alma dan Sirius, yang ketika itu berada kira-kira 80 batu nautika dari Gaza.

Tentera Israel dilaporkan menggunakan meriam air, mengganggu akses komunikasi termasuk CCTV serta siaran radio, selain mengarahkan kapal menukar laluan ke lokasi yang tidak dinyatakan.

Daripada 497 peserta flotila, seramai 201 orang termasuk 12 rakyat Malaysia dipercayai kini ditahan atas kapal. Mereka adalah:

Kapal Sirius: Muhammad Haikal Abdullah, Muhammad Muaz Zainal Abiddin, Mohammad Zulfadhli Khiruddin, Mohd Rusydi Ramli
Kapal Alma: Ahmad Musa Alnuwayri Kamaruzaman, Ilylia Balqis Suhaimi, Sul Aidil Sudi
Kapal Huga: Nur Fazelah Mad Tahil (Zizi Kirana)
Kapal Grande Blu: Danish Nazran Murad, Nurfarahin Romli (Farah Lee)
Kapal Hio: Nur Heliza Helmi, Nur Hazwani Afiqah Helmi

Selain itu, dua lagi delegasi Malaysia Nurul Hidayah Mohd Amin (Ardell Aryana) dan Razali Awang dilaporkan gagal dihubungi sejak insiden bermula kerana berada di atas kapal Mikeno dan Inana.

Bagaimanapun, SNCC mengesahkan masih terdapat tiga kapal belum dipintas tentera Israel, iaitu Free Willy, Estrella dan Fair Lady yang membawa baki sembilan delegasi Malaysia. Mereka adalah:

Free Willy: Muhd Haikal Luqman Zulkefli, Muhammad Hareez Adzrami (Haroqs), Taufiq Mohd Razif
Estrella: Rahmat Ikhsan Mohd Sofyan (PU Rahmat), Norhelmi Ab Ghani, Norazman Ishak, Mohd Asmawi Mukhtar
Fair Lady: Muhammad Abdullah (Ustaz Muhammad Kechik), Zainal Rashid Ahmad (ZRA)

Ketua Pengarah SNCC, Dato’ Sani Araby Abdul Alim Araby, menegaskan pusat itu adalah sumber rasmi perkembangan misi flotila, dengan sidang media dijadualkan tiga kali sehari pada jam 10 pagi, 3 petang dan 9 malam.

“Sebarang maklumat tidak sahih hanya akan memenangkan propaganda Zionis serta membina naratif salah. Kami menyeru seluruh rakyat Malaysia, keluarga peserta, media dan masyarakat untuk terus menjadi penguat semangat,” katanya.

SNCC menjelaskan bahawa rangkaian peguam antarabangsa Global Sumud Flotilla (GSF), yang dianggotai 45 negara, kini bersiap siaga menangani isu perundangan berkaitan peserta flotila.

Bagi pihak Malaysia, barisan perundangan diketuai Tuan Azril daripada CENTHRA yang kini berada di Amman, Jordan, manakala The Legal Centre for Arab Minority Rights in Israel (ADALAH) dilantik sebagai wakil rasmi perundangan sekiranya berlaku siasatan atau tahanan.

Komen
Loading...