Ikuti Kami:

SMK Kota Kemuning Muncul Juara MLBB Selangor Future Cup 2025

SMK Kota Kemuning Muncul Juara MLBB Selangor Future Cup 2025

Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Kota Kemuning mencipta sejarah sebagai juara sulung Kejohanan E-Sukan Selangor Future Cup 2025 selepas menewaskan SMK Saujana Utama, Kuala Selangor dalam perlawanan akhir yang sengit.

Pertandingan Mobile Legends Bang Bang (MLBB) ini menyaksikan 64 sekolah bertanding dalam kejohanan dua hari yang berlangsung meriah dengan kehadiran peminat e-sukan.

Sebagai juara, SMK Kota Kemuning membawa pulang hadiah lumayan termasuk wang tunai RM5,000, berlian bernilai RM20,000, serta biasiswa penuh bernilai RM160,000 bagi Diploma Kemahiran Malaysia tajaan Todak.

Selain itu, sekolah tersebut turut menerima RM30,000 untuk pembangunan hab e-sukan, trofi, pingat dan barangan eksklusif daripada Selangor Red Giants (SRG) dan Todak.

Kejayaan pasukan ini didorong oleh pemain berbakat yang terdiri daripada Wong Kae Juen, 17; Muhammad Fariez Arsyad Zuriadi, 16; Muhammad Imran Muhamad Aswad, 16; Anantha Raj Kumar, 16; S. Phiraphad, 17 dan jurulatih Adib Sulaiman Mohd Mulyadi, 17.

Exco Belia dan Sukan Selangor, YB Mohd Najwan Halimi, mengucapkan tahniah kepada SMK Kota Kemuning atas kejayaan ini dan berharap ia menjadi pemangkin kepada pembangunan e-sukan di negeri Selangor.

“Tahniah kepada SMK Kota Kemuning kerana berjaya merangkul kejohanan sulung Selangor Future Cup 2025 MLBB. Alhamdulillah, pemenang juga mendapat peluang menyambung pelajaran dengan biasiswa tajaan Todak.

“Kemenangan ini bukan sekadar kejayaan dalam e-sukan, tetapi juga membuka pintu kepada pemain untuk melanjutkan pelajaran ke peringkat lebih tinggi. Terima kasih kepada 64 sekolah yang telah memberi kerjasama yang sangat baik,” katanya.

SMK Saujana Utama yang menduduki tempat kedua menerima hadiah wang tunai RM2,500, manakala tempat ketiga (SMK Seksyen 19) dan tempat keempat (SMK Bandar Sunway) masing-masing membawa pulang RM1,000, trofi serta barangan eksklusif SRG dan Todak.

Kejayaan ini membuktikan potensi besar e-sukan dalam kalangan pelajar sekolah dan memperkukuhkan kedudukan Selangor sebagai hab pembangunan e-sukan di Malaysia.

Kejohanan yang berlangsung pada 22 dan 23 Februari 2025 di AEON Mall Shah Alam ini dianjurkan dengan kerjasama Majlis Sukan Selangor, Kerajaan Negeri Selangor, TODAK, dan KITA SELANGOR, serta mendapat sokongan daripada TODAK Academy, AEON Malaysia, GGMY, dan MSL.

Komen
Loading...