SME Showcase: Platform Lonjakan Perniagaan PKS, Adaptasi AI dan Strategi Digital
- oleh MDaily Editor
- 25 Apr 2026 3:22 pm
Pasaran perusahaan kecil dan sederhana (PKS) tempatan kini melangkah ke fasa transformasi baharu menerusi penganjuran sulung SME Market Expansion Showcase yang berlangsung di CityStage @ KL City Walk, hari ini.
Acara yang menghimpunkan lebih 30 perniagaan itu bukan sekadar menjadi ruang pasaran, malah berfungsi sebagai platform pertumbuhan strategik bagi menjana pendedahan jenama, jualan terus, serta pembinaan rangkaian perkongsian pintar.
Pengarah Pemasaran Tanker Collaborative, Janet New berkata, inisiatif ini dirangka khusus untuk memperkasakan PKS yang merupakan tulang belakang ekonomi negara, terutamanya dalam mendepani cabaran pasaran pasca pandemik yang perlahan.

“Tujuan utama kami adalah untuk menyediakan ekosistem bermakna bagi usahawan mengakses dana, menerima pertumbuhan digital, dan membina kerjasama strategik yang memacu kejayaan mampan,” katanya dalam ketika ditemui di sini, hari ini.
Kemuncak acara tersebut memfokuskan kepada sesi panel bertajuk ” ESG In Action: Unlocking Grants, Tax Benefits & Green Financing for SMEs”.
Sesi ini mengupas secara mendalam bagaimana elemen Alam Sekitar, Sosial dan Tadbir Urus (ESG) kini menjadi instrumen penting untuk mendapatkan suntikan modal yang menampilkan :
– Stacia Lim, Pengarah Tadbir Urus Korporat & Setiausaha Syarikat Helius Thrive Sdn Bhd.
– Shu Yi Kuek, Pengasas & Pakar Cukai KPL Corporate Advisory Sdn Bhd.
– Alan Chin, Naib Presiden Kelestarian Kumpulan dan Perkongsian Strategik Alliance Bank Malaysia Berhad.

Selain aspek kelestarian, PKS turut didedahkan dengan strategi pengembangan pasaran melalui adaptasi Kecerdasan Buatan (AI).
Pakar pemasaran Kien Lim, bersama panelis Marc Ng dan Clarence Koh, turut membincangkan kepentingan media sosial dan perhubungan awam (PR) dalam memenangi “ekonomi perhatian” masa kini.
Bagi memastikan setiap peserta mendapat nilai maksimum, kesemua pempamer diberi peluang keemasan untuk melakukan sesi pengenalan perniagaan selama 90 saat semasa slot rangkaian (networking) yang disusun sepanjang hari.
Melihat kepada sambutan memberangsangkan, Tanker Collaborative merancang untuk menganjurkan acara berskala lebih besar pada September atau Oktober depan.
“Apabila melihat sambutan yang mengalakan dari kalangan PKS, kami merancang untuk membawa acara ini ke skala lebih besar pada September atau Oktober depan, dengan kemungkinan penglibatan pelabur dari Hong Kong,” tambah Janet.
Ditubuhkan hampir enam tahun lalu, Tanker Collaborative Sdn Bhd merupakan syarikat pengaktifan perniagaan dinamik dengan operasi di Malaysia dan Hong Kong, pakar dalam penganjuran acara berskala besar dan platform ekspansi pasaran.
