Slam Ulang Magis ‘The Grand Slam Unplugged’ Selepas Tiga Dekad
- oleh MDaily Editor
- 27 Jan 2026 5:31 pm
Kumpulan pop rock lagenda, Slam, bakal mencetuskan semula fenomena muzik tanah air apabila mengumumkan penganjuran konsert berskala besar, The Grand Slam Unplugged 2 yang dijadualkan berlangsung pada 20 Jun 2026.
Konsert yang bakal menggegar Megastar Arena, Kuala Lumpur itu dianggap sebagai kesinambungan kepada momen ikonik yang pernah melakar sejarah di Stadium Merdeka kira-kira 30 tahun lalu.
Gitaris Slam, Shah berkata, konsert ini bukan sekadar sebuah persembahan ulang tayang, sebaliknya ia adalah satu apresiasi dan keraian buat peminat yang setia menyokong mereka sejak era kaset sehingga ke zaman penstriman digital.
“The Grand Slam Unplugged 2 adalah sebuah reminisensi, perasaan, kenangan dan keraian lagu-lagu Slam yang kekal relevan dalam pasaran sekarang. Ia bukan dilahirkan kerana mahu mengambil kesempatan atas sejarah gangguan elektrik yang berlaku dua dekad lalu, tetapi tentang kematangan kami dalam mempersembahkan karya secara akustik,” katanya.

Mengulas lanjut mengenai konsep konsert tersebut, Shah menjelaskan bahawa atmosfera ‘terowong masa’ akan diterjemahkan dengan lebih kaya menerusi susunan muzik yang lebih segar namun tetap mengekalkan identiti asal Slam.
Momen magis pada 3 Ogos 1996 di Stadium Merdeka yang menyaksikan Slam tetap beraksi gah meskipun berdepan gangguan bekalan elektrik, menjadi inspirasi utama untuk mencipta sejarah baharu yang lebih gemilang pada tahun 2026 nanti.
Penganjur, SS Karya Venture dan Republic Mokhmar Records, menjangkakan sambutan luar biasa daripada peminat memandangkan kumpulan yang popular dengan lagu Gerimis Mengundang ini mempunyai pangkalan peminat yang sangat luas merentas generasi.
Slam turut menitipkan pesan agar peminat sentiasa peka dengan pengumuman lanjut bagi mengelakkan terlepas peluang dalam ‘perang tiket’ yang dijangka sengit.
“Jangan sampai terlepas kerana kami berjanji tidak akan ada jiwa yang akan ‘terasing dalam sepi’ pada malam itu nanti. Ini adalah medan ‘Masih Ada Cahaya’ dalam perjalanan seni Slam dan anda semua,” tambah Shah lagi.




