Ikuti Kami:

Skyhill Clinic Terbitkan ‘The Orchid Journey’: Demi Wanita Masa Kini

Skyhill Clinic Terbitkan ‘The Orchid Journey’: Demi Wanita Masa Kini

Skyhill Clinic tampil dengan inisiatif baharu yang unik, menerbitkan siri travelog inspirasi berjudul ‘The Orchid Journey’, yang bertujuan membimbing wanita moden menelusuri cabaran dalam mencapai keseimbangan hidup.

Siri ini mempertemukan tiga tokoh wanita berpengaruh Malaysia yang mewakili pelbagai spektrum kepakaran: Dr. Linda Mat Hassin (Pakar Perawatan Hormon dan Wanita), Datuk Dr. Ustazah Norhafizah Musa (Guru Kerohanian dan Personaliti Dakwah), dan Datuk Dr. Faridah Hanim Haron (Guru Kepimpinan dan Pembangunan Organisasi).

Menariknya, ‘The Orchid Journey’ membawa penonton mengikuti perjalanan penuh makna ketiga-tiga figura ini ke bumi Tokyo dan Bandung, dalam misi mencari titik keseimbangan antara tuntutan dunia moden yang serba pantas dengan keperluan jiwa yang mendambakan ketenangan spiritual.

Penerbit Eksekutif siri ini, Dr. Linda Mat Hassin, menyifatkan ‘The Orchid Journey’ sebagai jambatan antara dua dunia yang dihadapi wanita hari ini.

“Wanita hari ini hidup di antara dua dunia, satu dunia yang menuntut produktiviti dan prestasi, dan satu lagi dunia jiwa dalaman yang mendambakan ketenangan dan makna. ‘The Orchid Journey’ adalah jambatan antara keduanya,” katanya.

Siri 10 episod di setiap lokasi ini bukanlah sekadar dokumentasi pelancongan, tetapi merupakan satu pencarian ilmu, kekuatan dalaman, dan nilai spiritual yang mendalam.

Setiap episod, berdurasi antara 20 hingga 25 minit, akan menghidangkan perbincangan jujur mengenai isu-isu penting seperti keseimbangan hormon, kesihatan mental dan emosi, tekanan hidup, serta peranan Muslimah dalam kerjaya dan keluarga.

‘The Orchid Journey’ turut dijayakan dengan sokongan penuh daripada penaja rasmi termasuk Siti Khadijah sebagai Rakan Rasmi Busana Muslimah dan Brainy Bunch sebagai Rakan Pendidikan Awal Kanak Kanak, yang memperkukuh misi memperkasakan wanita dari pelbagai aspek.

Dalam sidang media pelancaran hari ini, Skyhill Clinic turut mengumumkan pelantikan Datuk Dr. Ustazah Norhafizah Musa secara rasmi sebagai Ikon Syariah Skyhill Clinic, manakala Datuk Dr. Faridah Hanim Haron dilantik sebagai Penasihat Korporat Skyhill Clinic.

Siri travelog inspirasi ‘The Orchid Journey’ akan mula ditayangkan secara rasmi pada 5 Januari 2026 melalui saluran YouTube Skyhill Clinic.

Komen
Loading...