SKINBASHER Kembali Goncang Dunia ‘Underground’, Lancar Album Slatan Sorga Selepas 13 Tahun
- oleh MDaily Editor
- 23 Feb 2026 3:12 pm
Ikon punk rock tanah air, SKINBASHER, akhirnya menamatkan penantian 13 tahun peminat setianya dengan pelancaran album studio kelima mereka bertajuk Slatan Sorga, hari ini.
Kumpulan yang menjadi tunjang lanskap muzik bawah tanah (underground) sejak awal 1990-an itu kembali membawa naratif yang lebih matang namun tetap mengekalkan identiti bunyi yang sinonim dengan perjuangan mereka selama lebih suku abad.
Album yang memuatkan 12 lagu baharu itu merupakan susulan kepada karya terdahulu, Punkapak yang diterbitkan pada 2013. Sebelum itu, SKINBASHER pernah melahirkan rangkaian album ikonik seperti Transglobal Confusion (1999), Mama Beta (2001) dan Infiniti (2008).
Istimewanya, album Slatan Sorga merupakan hasil terbitan sepenuhnya oleh SKINBASHER sendiri. Proses rakaman telah dijalankan di dua lokasi berbeza iaitu AB Studio, Enstek City dan BSP Heartwork, Cyberjaya bagi memastikan kualiti bunyi yang terbaik buat pendengar.
Bagi memastikan ‘getaran’ punk rock mereka sampai ke telinga peminat dengan sempurna, kumpulan ini mendapatkan khidmat Garoxx dan Der Kreuder selaku jurutera rakaman.
Bagi Ajak yang menggalas tanggungjawab sebagai vokalis dan pemain gitar, Slatan Sorga bukan sekadar sebuah album, tetapi merupakan sebuah manifestasi tentang kebebasan bersuara dalam seni.
“Slatan Sorga adalah suara kami hari ini. Muzik adalah kebebasan dan bunyi adalah kebenaran. Kami tidak pernah mahu terikat dengan trend, sebaliknya kami mahu pendengar rasa apa yang kami rasa tentang dunia sekarang,” tegas Ajak.

Beliau turut menambah bahawa penulisan dalam album ini sengaja dibuat secara bersahaja agar lebih dekat dengan hati pendengar, namun tetap memiliki mesej yang mendalam.
Apa yang menarik perhatian pemerhati industri adalah keutuhan anggota kumpulan itu yang masih dianggotai oleh Apai (drum), Ajak (gitar/vokal) dan Andong (bass).
Kekuatan line-up asal yang bertahan lebih 25 tahun ini membuktikan keserasian luar biasa mereka dalam mendepani cabaran industri muzik bebas.
Menerusi album terbaharu ini, SKINBASHER terus berani mengangkat tema-tema besar seperti realiti sosial serta pencarian identiti bagi manusia yang kini berada di ruang antara kekacauan dan kepercayaan.
Slatan Sorga diterbitkan dalam format cakera padat (CD) dan boleh didapati di semua platform muzik digital bermula 25 Februari 2026, bersamaan 7 Ramadhan 1447 Hijrah.
Untuk rekod, SKINBASHER mula mengukir nama sebagai antara perintis yang menyatukan elemen punk, rock dan metal, menjadikan mereka antara entiti paling disegani dalam komuniti muzik alternatif Malaysia sehingga ke hari ini.




