Ikuti Kami:

Sixth Sense, Masdo, Floor 88 Warnai Showcase Jiwa Malaysia 2025

Sixth Sense, Masdo, Floor 88 Warnai Showcase Jiwa Malaysia 2025

Barisan artis popular tempatan bakal menggamatkan pentas “Showcase Jiwa Malaysia 2025” apabila Sixth Sense, Kugiran Masdo, Floor 88, Baby Shima, Def Gab C dan kumpulan Alpha disatukan dalam sebuah persembahan istimewa pada 1 November ini di Dewan Sri Putra, Bukit Jalil.

Menariknya, gabungan artis daripada pelbagai genre ini dipilih untuk mencerminkan kepelbagaian muzik tanah air, sekali gus menjadikan persembahan kali ini lebih segar dan pelbagai warna.

Acara anjuran Regnant Works dengan sokongan Perbadanan Stadium Malaysia (PSM) ini diadakan bersempena sambutan Hari Malaysia, meraikan kepelbagaian budaya serta semangat perpaduan selaras dengan aspirasi Malaysia MADANI.

Ketua Pegawai Eksekutif PSM, Encik Iliyas Jamil, berkata Dewan Sri Putra yang telah melalui proses naik taraf menyeluruh kini bukan sekadar venue konsert, malah pusat acara serbaguna yang mampu menampung pelbagai aktiviti berskala besar.

“Kami mahu Dewan Sri Putra menjadi hab untuk seni, sukan dan ekonomi kreatif. Showcase Jiwa Malaysia 2025 adalah bukti bagaimana sebuah ruang boleh mengangkat kepelbagaian budaya dalam satu pentas,” katanya.

Showcase kali ini dijangka mencetuskan keterujaan peminat muzik tanah air yang mahu melihat idola mereka berkongsi pentas dalam sebuah acara yang mempamerkan kekuatan seni Malaysia.

Dengan tiket berharga RM88 sahaja, penonton bakal menikmati persembahan penuh energi daripada barisan penyanyi kegemaran ramai. Tiket mula dijual bermula 30 September 2025, jam 5 petang di https://mytickets.asia dan dijangka habis dalam tempoh singkat.

Showcase Jiwa Malaysia 2025 akan berlangsung pada 1 November 2025 di Dewan Sri Putra, Bukit Jalil sebuah malam yang pastinya penuh dengan warna, suara dan semangat Malaysia.

Komen
Loading...