Siti Nurhaliza Tunai Janji, ‘Gema Bumantara’ Angkat Warisan Irama Melayu
- oleh MDaily Editor
- 28 Oct 2025 6:45 pm
Biduanita Negara, Dato’ Sri Siti Nurhaliza menunaikan janjinya untuk terus memperkukuh kedudukan muzik tradisional Melayu menerusi pelancaran album terbaharunya berjudul Gema Bumantara, sekali gus memperlihatkan komitmennya dalam melestarikan warisan seni bangsa.
Menggabungkan elemen muzik tradisional dengan sentuhan kontemporari yang segar, Gema Bumantara menjadi bukti keupayaan Siti menyesuaikan warisan lama dalam konteks moden tanpa menghilangkan jati diri muziknya.
Karya ini juga menjadi kesinambungan kepada siri album tradisional terdahulu yang pernah mencipta fenomena seperti Cindai, Sahmura, Sanggar Mustika dan Lentera Timur.

Menurut Dato’ Sri Siti Nurhaliza, album Gema Bumantara merupakan manifestasi cintanya terhadap muzik tradisional dan tanggungjawab sebagai anak seni untuk memastikan irama warisan tidak luput ditelan zaman.
“Album tradisional sentiasa mempunyai tempat istimewa di hati saya. Semoga Gema Bumantara menjadi hadiah buat semua pencinta muzik warisan dan terus mengalunkan keindahan irama Melayu kepada seluruh dunia.,”
“Saya juga menjadikan ini sebagai salah satu tanggungjawab saya dalam bidang seni,” katanya ketika ditemui pada majlis pelancaran album itu.
Dalam sidang media yang sama, Siti turut berkongsi pengalaman sepanjang proses rakaman album berkenaan yang mengambil masa hampir setahun, disifatkan beliau sebagai antara yang paling mencabar namun penuh makna.
“Setiap kali saya merakamkan album, saya pastikan hasilnya benar-benar memuaskan hati. Ada lagu yang ambil masa sejam, ada juga yang tiga hingga empat jam kerana saya mahu hasil terbaik,”
“Saya akan tanya semula produser, puas hati tak, sebab bagi saya setiap karya mesti datang dari hati,” jelasnya.

Siti turut menzahirkan rasa bangga dapat bekerjasama dengan ramai komposer muda berbakat, termasuk beberapa graduan muzik dari luar negara, yang berani membawa pendekatan baharu dalam penghasilan karya tradisional.
“Saya percaya kita perlu beri peluang kepada generasi muda. Tak kisahlah mereka baru atau lama, yang penting bakat mereka dihargai. Kalau kita tak buka ruang, macam mana nak lahir pelapis yang hebat?,”
“Saya suka bagaimana mereka gabungkan muzik moden dengan tradisional, macam kuih tradisional yang dimodenkan tapi masih kekal sedap dan bernilai,” katanya lagi.

Dalam pada itu, Gema Bumantara turut mendapat sokongan daripada Kementerian Komunikasi melalui MyCreative Ventures di bawah Dana Kebolehanpasaran (Domestik) 2.0, sebagai usaha memperkukuh karya seni tempatan serta memastikan muzik tradisional terus relevan dalam arus perdana.
“Terima kasih kerana mempercayai saya dan pasukan saya untuk menghasilkan album ini. Bila terdapat dana seperti ini, kita ada waktu yang perlu ditetapkan supaya semua yang menerima dana lebih berdisiplin dalam kerja mereka,”
“Alhamdulillah, kami menepati jadual dan memanfaatkan dana yang diberikan dengan sebaiknya. Saya harap hasil kerja ini memberi impak positif kepada industri seni dan mendidik masyarakat untuk terus menghargai lagu warisan budaya kita,” ujar Siti.
Sementara itu, wakil MyCreative Ventures menyifatkan Gema Bumantara sebagai bukti kejayaan usahawan seni tempatan memanfaatkan peluang yang diberi untuk mengangkat budaya ke peringkat lebih tinggi.
“Album ini terhasil melalui sokongan Dana Kandungan Kreatif Industri Muzik menerusi Dana Kebolehanpasaran Domestik 2.0 oleh Kementerian Komunikasi melalui MyCreative Ventures,”
“Sokongan ini mencerminkan keyakinan kerajaan terhadap usaha kreatif anak tempatan untuk terus berkembang dan bersaing di pasaran domestik serta antarabangsa. Tahniah kepada Dato’ Sri Siti Nurhaliza dan pasukan produksi atas kejayaan ini,” katanya.

Album Gema Bumantara menampilkan 10 lagu baharu hasil ciptaan komposer dan penulis lirik terkenal seperti Firdaus Rahmat, Iqie Hugh, Usop Kopratasa, Hafiz Hamidun, Aubrey Suwito, Omar K, Shazriq Azeman, Aiman Sidek, Wan Saleh, Affan Mazlan, Danish Norr, Aisha Retno, RADi, Melly Goeslaw, Amni Musrifah, Irena Taib, Jamilah Abu Bakar, Ahmad Fedtri Yahya, Datuk Habsah Hassan dan Dato’ Sri Siti Nurhaliza sendiri.
Antara lagu yang menghiasi album ini ialah Kumbang Bunga (duet bersama Lesti), Hati Yang Rindu, Rencong, Pesanan Buat Diri, Kaca dan Permata (duet bersama Umairah), Syurgaloka, Hujung Bumi, Kesuma, Jenjang Cinta dan Cenderamaya.
Album ini diterbitkan bersama oleh SN Legacy Sdn. Bhd., Siti Nurhaliza Productions (M) Sdn. Bhd. dan Universal Music Sdn. Bhd., dan kini boleh didengarkan di semua pelantar digital utama, manakala versi fizikal akan dilancarkan pada Januari 2026 bersempena Konsert Legacy 30 Siti Nurhaliza di Stadium Nasional Bukit Jalil.
Album Gema Bumantara boleh didengarkan di semua pelantar digital utama di pautan ini.




