Ikuti Kami:

Siti Nurhaliza Lancar Lagu ‘Raya Nak Ke Mana?’, Gabungan Tradisional & Moden

Siti Nurhaliza Lancar Lagu ‘Raya Nak Ke Mana?’, Gabungan Tradisional & Moden

Biduanita negara, Dato’ Sri Siti Nurhaliza, kembali dengan sentuhan istimewa sempena Aidilfitri tahun ini melalui pelancaran single terbaharunya, Raya Nak Ke Mana?, yang menggabungkan elemen tradisional dan moden.

Lagu ini menampilkan kolaborasi antara Siti dengan dua bakat muda berbakat, Aisha Retno dan RADi, manakala liriknya digarap oleh Aisha Retno serta Amylea Azizan.

Perpaduan irama klasik lagu raya dengan susunan muzik kontemporari menjadikan Raya Nak Ke Mana? sebuah karya segar yang sesuai untuk semua generasi.

Sebagai seorang penyanyi berpengalaman, Siti teruja dengan pembaharuan yang dibawa dalam lagu ini.

“Saya suka bagaimana lagu ini mengimbangi nostalgia muzik raya lama dengan elemen moden. Ia bukan sahaja menghidupkan semangat Aidilfitri tetapi juga memberi nafas baru kepada lagu raya,” katanya.

Siti turut berkongsi bahawa beliau terpikat dengan lagu ini sejak pertama kali mendengar demo yang diberikan kepadanya.

“Melodi dan susunan muziknya begitu unik, membuatkan saya yakin lagu ini mampu menjadi antara lagu raya yang diingati ramai,” tambahnya.

Majlis pelancaran rasmi Raya Nak Ke Mana? berlangsung di Pavilion Kuala Lumpur, dengan kehadiran ramai peminat yang memberikan sambutan hangat, membuktikan bahawa lagu raya tetap mempunyai tempat istimewa di hati pendengar, terutamanya menjelang Syawal.

Dalam majlis yang sama, penyanyi baharu Umairah turut membuat persembahan istimewa dengan menyanyikan single sulungnya, Tak Balik Raya.

Kehadiran Umairah sebagai artis baharu menambahkan lagi kemeriahan acara, sekaligus memperkenalkan bakat muda yang bakal menyerikan industri muzik tanah air.

Raya Nak Ke Mana? diterbitkan oleh SN Legacy Sdn. Bhd dan Universal Music Malaysia. Single ini sudah boleh didengarkan di semua platform digital mulai 12 Mac 2025, sementara video muzik rasmi turut dilancarkan di saluran YouTube Siti Nurhaliza pada jam 5 petang hari yang sama.

Komen
Loading...