Ikuti Kami:

Siti Nurhaliza & Judika Cipta Memori Indah di Stadium Merdeka

Siti Nurhaliza & Judika Cipta Memori Indah di Stadium Merdeka

Stadium Merdeka bergema dengan tepukan gemuruh daripada lebih 24,000 peminat malam tadi, menandakan kejayaan luar biasa konsert “The Journey of Sound” yang menampilkan dua bintang hebat Nusantara, Dato’ Sri Siti Nurhaliza dan Judika.

Semua penonton yang hadir dilihat sporting mengikut tema putih dan denim, mencipta suasana harmoni dan penuh gaya di lautan manusia.

Artis jemputan, Faizal Tahir tampil membuka malam dengan penuh karisma, mendendangkan tiga lagu popularnya, termasuk Mahakarya Cinta, Sampai Syurga, serta medley Santai dan OK. Persembahan beliau menjadi pembukaan sempurna sebelum Siti dan Judika mengambil alih pentas.

Sebelum persembahan bermula, Dato’ Sri Siti Nurhaliza dan Judika diarak mengelilingi stadium menggunakan kereta sport, menyemarakkan semangat peminat yang sudah memenuhi stadium sejak pukul 3 petang, meskipun pentas hanya memulakan persembahan pada pukul 9 malam.

Dato’ Sri Siti Nurhaliza dan Judika memikat hati peminat dengan duet lagu-lagu seperti Kisah Ku Inginkan, Bukan Dia Tapi Aku/Wajah Kekasih, dan Buih Jadi Permaidani/Hal Hebat.

Judika meneruskan malam dengan persembahan bertenaga menerusi lagu-lagu seperti Bukan Rayuan Gombal, Mama Papa Larang, Aku Yang Tersakiti, dan Bagaimana Kalau Aku Tidak Baik-Baik Saja.

Sementara itu, Dato’ Sri Siti Nurhaliza mencuri perhatian dengan aksi lincahnya ketika menyanyikan medley Siti Situ Sana Sini/Ku Milikmu, memperlihatkan versatiliti beliau sebagai penghibur unggul.

“Nampak putih semua. Sebelum ini di Axiata Arena boleh memuatkan 12,000 penonton tapi di sini 24,000 penonton. Terima kasih semua yang hadir dan terus memberikan sokongan,” kata Siti, menghargai kehadiran peminat yang memeriahkan malam tersebut.

Semua penonton diberikan LED wristband, menjadikan suasana lebih memukau dengan kerlipan cahaya seragam di seluruh stadium.

Persembahan ini turut dimeriahkan dengan pertunjukan bunga api berskala besar dan pencahayaan dari Menara Merdeka 118 yang menambah keindahan sepanjang konsert berlangsung.

Kemuncak kolaborasi mereka hadir dengan persembahan penutup lagu Fantasia Bulan Madu, yang membawa penonton berdiri sambil menyanyi bersama dalam suasana penuh emosi.

Sebagai kejutan istimewa, penganjur Universe Gateway telah mengadakan cabutan bertuah yang menyaksikan dua peminat bertuah membawa pulang hadiah utama berupa sebuah kereta BMW dan sebuah skuter, sekaligus menambah kemeriahan malam yang penuh keceriaan ini.

Dalam konsert penuh magis ini, kedua-dua artis hebat tersebut mempersembahkan lebih 30 lagu, termasuk segmen medley yang mengundang sorakan gemuruh daripada peminat.

 

Komen
Loading...