Siti Nurhaliza & Ade Govinda Kembali Bersatu Dalam ‘Menamakanmu Cinta’
- oleh Mohd Indera
- 22 Jul 2025 1:13 pm

Dua nama besar dalam industri muzik, Dato’ Sri Siti Nurhaliza dan Ade Govinda kembali bersatu menerusi kolaborasi terbaharu mereka yang cukup istimewa berjudul ‘Menamakanmu Cinta’.
Lagu ini sekali lagi membuktikan keserasian dua sahabat baik dari Malaysia dan Indonesia itu dalam menghasilkan karya berkualiti yang menyentuh hati.
Bukan pertama kali mereka bekerjasama, sebelum ini Ade Govinda pernah mencipta tiga lagu popular untuk Dato’ Sri Siti Nurhaliza menerusi album Fragmen pada tahun 2014 iaitu ‘Terbaik Bagimu’, ‘Engkau’ dan ‘Tak Pernah Ragu’.
Kini, menerusi ‘Menamakanmu Cinta’, mereka tampil dengan karya yang lebih matang, sarat emosi dan mesej cinta yang cukup mendalam.
Menurut Dato’ Sri Siti Nurhaliza, beliau amat bersyukur kerana dapat kembali bergandingan bersama Ade Govinda dalam sebuah projek muzik yang sangat dekat di hatinya.
“Saya gembira kerana diberi peluang kembali bekerjasama dengan Ade selepas beberapa tahun. Menamakanmu Cinta adalah lagu yang sangat indah, penuh dengan sentuhan istimewa dari Ade yang saya percaya mampu menyentuh hati ramai pendengar. Saya berharap lagu ini diterima baik oleh peminat di Malaysia, Indonesia dan juga seluruh dunia,” katanya.
Bagi Siti, lagu ini bukan sekadar sebuah karya seni biasa, sebaliknya membawa mesej tentang erti cinta yang perlu dihargai dalam kehidupan seharian.
“Setiap bait lagu ini sangat mendalam dan saya percaya sesiapa yang mendengarnya akan dapat merasai keindahan cinta sejati. Lagu ini dihasilkan dengan penuh rasa dan harapan, saya berharap ia dapat menyentuh hati ramai,” tambah beliau.
Ade Govinda pula menyifatkan kolaborasi kali ini sebagai satu pengalaman yang sangat berharga buat dirinya kerana dapat kembali bekerjasama dengan penyanyi tersohor seperti Siti Nurhaliza.
“Idea awal lagu ini datang kerana saya mahu cipta lagu cinta yang sesuai dinyanyikan di setiap majlis perkahwinan. Proses bekerjasama dengan Dato’ Sri Siti sangat mudah, menyeronokkan dan saya dapat mengeksplorasi vokalnya dengan lebih mendalam,” katanya.
Beliau berharap ‘Menamakanmu Cinta’ akan menjadi lagu tema buat pasangan yang sedang jatuh cinta, bukan sekadar untuk majlis perkahwinan, malah sebagai irama yang mengiringi perjalanan cinta mereka sepanjang hayat.