Ikuti Kami:

Siti Khadijah Perkenal Koleksi Ramadan & Raya 2026 Mushafe

Siti Khadijah Perkenal Koleksi Ramadan & Raya 2026 Mushafe

Siti Khadijah, peneraju telekung premium dan busana ibadah memperkenalkan Koleksi Ramadan & Raya 2026, Mushafe – Warisan Darul Iman yang diinspirasikan daripada Mushaf Terengganu, sebuah manuskrip Islam yang kaya dengan nilai seni, sejarah dan budaya.

Koleksi ini menzahirkan kehalusan seni Nusantara yang diolah dengan sentuhan moden dan klasik, melahirkan rekaan yang anggun serta penuh bermakna.

Ketua Pegawai Eksekutif Siti Khadijah Group, Mohammad Munzir Aminuddin berkata, koleksi ini berakar daripada keindahan Mushaf Terengganu abad ke-18 hingga ke-19 sebuah khazanah warisan Islam Nusantara yang sarat dengan nilai ilmu, seni dan ketamadunan.

“Rekaan ini direalisasikan melalui kolaborasi bersama Institut Alam dan Tamadun Melayu (ATMA) dari Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM). Ia sebagai usaha untuk memelihara warisan, lalu menzahirkannya dalam bahasa rekaan kita pada masa ini,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika mengumumkan kolaborasi bersama TV Al-Hijrah sempena Konvensyen Hijrah Bergema 2025 yang berlangsung selama dua hari bermula 30 dan 31 Disember di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) hari ini.

Hadir sama Ketua Jenama Siti Khadijah Group, Mohammad Mukhlis Aminuddin.

Konvensyen selama dua hari ini menawarkan pelbagai pengisian kerohanian termasuk ceramah motivasi, bengkel solat serta konsert istimewa bersama kumpulan nasyid dan barisan artis terkemuka.

Turut diperkenalkan ialah Telekung Basic baharu yang ditawarkan pada harga RM188, lengkap dengan kotak istimewa, menjadikannya pilihan ideal sebagai hadiah bermakna buat insan tersayang.

Ia juga sesuai dijadikan sebagai bingkisan perkahwinan, buah tangan majlis marhaban serta khatam al-Quran.

Menurut Mohammad Munzir, seiring dengan aspirasi jenama yang menekankan keseimbangan rohani dan ketenangan jiwa, Siti Khadijah juga memperkenalkan kempen JEDA – Damai Dalam Waktu, satu ajakan untuk berhenti sejenak, memperlahankan langkah dan kembali mencari ketenangan dalam dunia yang serba tergesa-gesa.

“Melalui mesej ‘Pause for Peace’ ini, Siti Khadijah mengajak masyarakat untuk mengambil ruang jeda bukan untuk lari, tetapi untuk kembali kepada diri, keluarga dan Ilahi. Kempen ini menjadi salah satu usaha Siti Khadijah dalam menyambut Ramadan serta Syawal dengan jiwa yang lebih damai serta tenang,” katanya.

Bagi memeriahkan lagi Gema Ramadan Siti Khadijah, jenama ini turut memperkenalkan pasangan pelakon suami isteri Amyra Rosli dan Amar Baharin serta dua anak mereka sebagai Duta Ramadan & Raya Siti Khadijah 2026, sekali gus menjadi wajah baharu bagi koleksi keluarga.

Kehadiran mereka mencerminkan nilai kesederhanaan, keindahan dan kekeluargaan yang menjadi teras kepada nilai Siti Khadijah. Koleksi keluarga ini direka untuk memenuhi keperluan gaya hidup moden tanpa mengabaikan nilai tradisi, kesopanan dan keselesaan.

Malah Amyra mengakui merupakan pelanggan setia Siti Khadijah sebelum diangkat menjadi duta sambil menyifatkan jenama ini sebagai ringkas, tetapi ada tujuan.

“Ia kena dengan prinsip hidup kami yang guna bila perlu, jamin kualiti dan pilih sesuatu yang menenangkan. Nampak ‘simple’, namun sebenarnya ia memudahkan kehidupan kita,” katanya.

Amar pula menyifatkan apabila sesuatu jenama itu selari dengan kehidupan dan kerohanian, ia bukan sekadar jenama semata-mata, tetapi sebagai teguran buat dirinya dan keluarga.

Dalam pada itu, daripada aspek pemilihan fabrik, Mohammad Mukhlis memberitahu, sudah pasti Siti Khadijah akan memilih yang selesa dipakai untuk waktu yang lama dan kualiti kain kapas terbaik supaya ia kelihatan premium.

Tambah beliau, seperti kebiasaan, bagi Siti Khadijah, setiap kali menjelang bulan Ramadan, orang ramai sudah sinonim dengan pembelian telekung dan pihaknya akan memperkenalkan pelbagai jenis telekung.

“Namun, kali ini ada kelainan, kami hadir dengan koleksi yang lebih menyeluruh khusus untuk golongan suami. Kami memperkenalkan jenama ‘Teman’ yang akan dilancarkan tahun depan. Selain itu, kami juga menyediakan koleksi untuk kanak-kanak.

“Dengan ini, set keluarga kini lengkap di bawah jenama ‘Cilik’. Selain telekung, kami turut menawarkan rangkaian pakaian termasuk jubah dan kurta lelaki yang sangat sesuai dipakai sepanjang bulan Ramadan.

“Keselesaan, perhatian terhadap perincian dan kualiti yang menjadi keutamaan dalam penghasilan telekung Siti Khadijah turut diterapkan dalam kesemua produk kami yang lain,” katanya.

Pastikan koleksi eksklusif ini menjadi persalinan anda sekeluarga dalam persiapan meraikan kedatangan Ramadan dan Syawal yang penuh bermakna.

Bagi yang berminat untuk memiliki koleksi ini, boleh datang ke mana-mana butik Siti Khadijah berhampiran anda atau layari laman web www.sitikhadijah.com.

Komen
Loading...