Siti Jewels Lancar Cawangan Kelima di Gelang Patah, Dato’ Aliff Syukri Saran Anak Muda Simpan Emas Mampu Milik
- oleh MDaily Editor
- 6 Dec 2025 10:00 pm
Siti Jewels mengukuhkan kedudukannya dalam industri emas negara apabila secara rasmi melancarkan cawangan kelima mereka di Gelang Patah, Johor, hari ini.
Majlis perasmian itu turut menyaksikan pelancaran koleksi cincin istimewa ‘Shahida’ dan diserikan dengan kehadiran duta jenama, pasangan usahawan selebriti terkenal Dato’ Seri Aliff Syukri dan Datin Seri Nur Shahida.
Pengerusi Eksekutif WBS Holdings Sdn Bhd, En. Solehuddin Hj Shamsuddin, menjelaskan pemilihan Johor Selatan sebagai lokasi terbaru adalah berdasarkan potensi ekonomi yang tinggi, khususnya dengan rancangan pembangunan Malaysia-Singapura yang dijangka menarik lebih ramai penduduk dan melonjakkan nilai hartanah.

“Pertama sekali, kami memilih Gelang Patah kerana potensi besar Johor Selatan dan Singapura. Jika dilihat dari segi hartanah, kawasan ini berpotensi besar untuk naik.
“Orang ramai akan berpindah ke sini dan ekonomi akan bertambah baik, jadi kami cuba masuk sebelum potensi itu benar-benar menjadi kenyataan,” katanya.
Solehuddin menambah, Siti Jewel kini menyasarkan jualan keseluruhan sebanyak RM250 juta untuk semua cawangan pada tahun hadapan, dan bercadang untuk mengembangkan sayap ke utara negara dengan destinasi seterusnya berkemungkinan di Kedah.
Dalam majlis yang sama, Dato’ Seri Aliff Syukri dan Datin Seri Nur Shahida berkongsi pengalaman mereka sebagai pelanggan setia sebelum dilantik sebagai duta.
Beliau mengambil peluang untuk menyarankan orang ramai, terutamanya golongan muda dan B40, agar mula menyimpan aset dalam bentuk emas.

“Saya memang dari dulu akan sokong perniagaan Bumiputera. Di Siti Jewels, ia adalah kedai emas Bumiputera yang memang sedang meningkat naik.
“Saya bangga kerana bukan senang cari orang Melayu yang tiada proksi dalam perniagaan emas,” kata Dato’ Seri Aliff Syukri.
Beliau memuji inisiatif Siti Jewels yang menawarkan produk emas mampu milik, termasuk Gold Bar serendah RM100 yang boleh didapati oleh sesiapa sahaja untuk mula menyimpan.
Selain itu, beliau turut menonjolkan keistimewaan koleksi cincin ‘Shahida’ rekaan bersama yang menawarkan ciri boleh laras (adjustable) dan keistimewaan rekaan eksklusif Itali tanpa upah.

“Tolonglah datang dekat sini, jarang sekali untuk rekaan eksklusif macam ini yang tidak ada upah. Harga emas di sini berbaloi dan kami menyediakan emas serendah RM100.
“Ini adalah tawaran istimewa untuk mereka yang tidak mampu membeli dalam kuantiti besar, tetapi boleh mengumpul sedikit demi sedikit,” tambahnya, menyeru orang ramai untuk menyokong jenama tempatan.
Siti Jewels turut menawarkan promosi istimewa sempena pembukaan cawangan kelima ini, termasuk promosi emas murah, pemberian Gold Bar dan keahlian percuma.




