Ikuti Kami:

Siti Halijah Angkat Melaka Melalui Single Terbaru “Sila-Sila Ke Melaka”

Siti Halijah Angkat Melaka Melalui Single Terbaru “Sila-Sila Ke Melaka”

Penyanyi kelahiran Melaka, Siti Halijah, melangkah ke fasa baharu dalam kerjaya seninya dengan pelancaran single terbarunya berjudul “Sila-Sila Ke Melaka”, sebuah lagu bertemakan pelancongan yang mengangkat warisan dan sejarah negeri bersejarah itu.

Menariknya, lagu ini adalah hasil ciptaan sepenuhnya komposer tempatan Melaka, Anwar Jaapar atau lebih dikenali sebagai Cik Mai, yang sebelum ini turut terlibat dalam pelbagai projek muzik tempatan.

Lagu ini pernah dipersembahkan oleh Siti Halijah ketika menyertai Pertandingan Idola Bandaraya Antara Bandaraya Se-Malaysia pada tahun 2011, dan berjaya merangkul gelaran juara serta memenangi Anugerah Lagu Terbaik PBT Se-Malaysia.

“Lagu Sila-Sila Ke Melaka membawa semangat pelancongan yang sangat bertepatan dengan sambutan Tahun Melawat Malaysia yang bakal dilancarkan pada September ini di Melaka. Ia adalah langkah baharu untuk saya sebagai artis apabila lagu ini akhirnya dipasarkan secara rasmi,” kata Siti Halijah.

Lagu ini dirakam dengan susunan muzik baharu yang lebih segar dan kontemporari hasil sentuhan Amy Bong, manakala liriknya disusun semula dengan suntikan elemen warisan tempatan seperti frasa “Bijak Laksana Tuah, Berani Laksana Jebat”.

Menurut Siti Halijah lagi, Sila-Sila Ke Melaka bukan sekadar lagu hiburan, tetapi sebuah naskhah muzik yang membawa mesej tentang kekayaan budaya dan sejarah negeri Melaka, yang diiktiraf sebagai Tapak Warisan Dunia UNESCO.

Beliau yang juga merupakan bekas ahli kombo Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah pernah tampil dalam rakaman lagu raya bersama Ratu Irama Tradisional, Noraniza Idris menerusi lagu Cinta Lebaran sebagai salah seorang ahli kumpulan Akasia.

Single ini diterbitkan oleh syarikat rakaman Luncai Emas yang turut menguruskan hak cipta dan pengedaran lagu. Video muzik rasmi telah dilancarkan di saluran YouTube Luncai Emas, manakala versi audionya boleh didapati di semua platform penstriman digital utama.

Dengan pelancaran ini, diharapkan lagu Sila-Sila Ke Melaka mampu menarik perhatian pendengar tempatan serta membantu mempromosikan Melaka sebagai destinasi pelancongan utama negara.

“Mana lagi? Melaka ler…” ujar Siti Halijah.

Komen
Loading...