SISU: ROAD TO REVENGE – Aksi Lebih Ganas, Dendam Lebih Dalam
- oleh MDaily Editor
- 20 Nov 2025 11:56 am
Selepas mencetuskan fenomena global menerusi filem Sisu pada 2022, pengarah Jalmari Helander kini kembali dengan kesinambungan yang lebih ekstrem, penuh keberanian dan sarat emosi melalui SISU: ROAD TO REVENGE.
Filem aksi thriller ini menampilkan Jorma Tommila sekali lagi sebagai Aatami Korpi, figura legenda yang digelar “lelaki yang tidak mati”.
Filem ini turut menampilkan Richard Brake sebagai pegawai KGB yang memberi mandat pemburuan terhadap Aatami, manakala Stephen Lang mempamerkan lakonan bertenaga sebagai Dragunov, watak yang digambarkan membawa tenaga jahat dan keazaman yang sama hebat dengan wira utamanya.

Helander sekali lagi tampil dengan gaya pengarahan yang digelar gabungan keberanian dan kegilaan kreatif, menghasilkan aksi sinematik yang lebih besar dan penuh kejutan.
Menurut Helander, sekuel ini bukan sekadar melanjutkan kisah Aatami, tetapi menggali emosinya lebih dalam, khususnya tentang kehilangan, ketabahan dan dendam yang belum padam.
Diperkukuh oleh sinematografi Mika Orasmaa, pereka produksi Otso Linnalaakso serta solekan kesan khas oleh Salla Yli-Luopa, filem ini memberikan visual yang kasar, realistik dan penuh letupan.

Dalam sekuel ini, Aatami kembali ke rumah lamanya, lokasi di mana keluarganya dibunuh secara kejam semasa perang.
Dengan tekad memperingati orang tersayang, dia membongkar rumah itu log demi log dan memuatkannya ke dalam trak, berazam membina semula kediaman tersebut di tanah yang lebih selamat.
Namun, misinya digugat apabila Yeagor Dragunov, komander Tentera Merah yang bertanggungjawab atas kematian keluarganya, muncul kembali dengan niat menghapuskan Aatami sekali dan untuk selamanya.
Pertembungan mereka mencetuskan siri aksi ganas dan mendebarkan, termasuk adegan kejar-mengejar merentas sempadan, serangan udara, konfrontasi tank, pergaduhan penuh darah serta detik dramatik apabila Aatami terpaksa menggunakan misil dalam usaha terakhir menentang musuh lamanya.
Dengan gabungan aksi ekstrem, visual sinematik dan naratif emosional yang kuat, SISU: ROAD TO REVENGE dijangka menjadi salah satu filem aksi paling mencuri perhatian tahun ini.
SISU: ROAD TO REVENGE dihasilkan oleh Subzero Film Entertainment dengan kerjasama Stage 6 Films, Screen Gems dan Good Chaos.
Filem ini diedarkan oleh Sony Pictures Malaysia dan akan ditayangkan pada 20 November di pawagam seluruh Malaysia.




