Ikuti Kami:

“Sistem Digital Memang Bagus, Tapi Saya Mahukan Gegaran…” – JoBranko

“Sistem Digital Memang Bagus, Tapi Saya Mahukan Gegaran…” – JoBranko

Pengasas kumpulan Barbarik, JoBranko, mengakui kecekapan sistem audio digital dalam industri muzik masa kini, namun secara peribadi tetap memilih pendekatan konvensional demi mengekalkan ‘gegaran’ energi yang dinamik ketika beraksi di atas pentas.

Pendekatan hibrid itu bakal diterjemahkan dalam Konsert Black On White Cromok-Barbarik yang dijadual berlangsung di IdeaLive Arena, 3Damansara, Petaling Jaya pada 27 Jun ini.

Menurut JoBranko, atau nama sebenarnya Abdul Zamin Abdul Kadir, gabungan dua elemen berbeza itu bakal menjadi antara tarikan utama memandangkan kumpulan Cromok kini memilih untuk bergerak ke arah sistem digital sepenuhnya (fully digital).

“Sistem digital memang bagus, terutamanya daripada segi penjimatan kos pengurusan perkakasan pentas kerana semuanya boleh diprogramkan lebih awal menerusi satu papan nada (board). Rakan saya, Karl (Cromok), sangat mendalami dan meneroka sistem ini.

“Namun untuk diri saya sendiri, saya mahukan gegaran. Saya perlukan impak gegaran daripada sistem monitor pentas (monitor) konvensional kerana dari situ datangnya tenaga untuk saya beraksi di atas pentas,” katanya kepada media pada sidang media konsert berkenaan di The Heritage Club, Royale Chulan, di sini, semalam.

Bekas pemain gitar kumpulan Wings itu menjelaskan, perbezaan kecenderungan teknikal antara beliau dan Karl tidak menjadi halangan, sebaliknya dilihat sebagai satu perkembangan sihat buat industri muzik tempatan.

Malah, bagi konsert itu nanti, satu pembahagian tugas yang jelas telah dipersetujui bagi memastikan kualiti persembahan berada pada tahap tertinggi.

“Karl akan menguruskan arah tuju sistem operasi dan teknikal digital, manakala saya pula memikul tanggungjawab untuk menyusun pengisian persembahan pada malam itu.

“Pada akhirnya, muzik itu universal. Telinga penonton tetap mahu mendengar bunyi yang sedap, bersih dan jelas. Sama ada digital atau konvensional, ia bergantung kepada ‘kejadian’ pada malam konsert itu nanti,” katanya lagi.

Bercakap mengenai persiapan lagu, JoBranko berkongsi beliau kini sedang memperincikan satu segmen khas, tribut istimewa buat kumpulan legenda tanah air, Kembara.

“Sebulan juga saya berfikir bagaimana nak menyelesaikan atau menyatukan suara Sam dan Muss untuk segmen ini. Sebagai percubaan pertama, saya memilih lagu Gerhana untuk melihat keserasian mereka.

“Sam mempunyai karakter vokal yang sangat berat, jadi apabila digabungkan dengan Muss, segmen tribut itu nanti akan menjadi sangat menarik. Saya telah menyaring daripada 10 buah lagu kepada empat hingga enam lagu terbaik untuk dipersembahkan secara tanpa henti pada malam itu nanti,” jelas beliau.

Selain segmen tribut berkenaan, JoBranko turut mendedahkan bahawa Barbarik kini dalam proses merakamkan sebuah single baharu khusus buat para peminat dan bakal dipersembahkan secara eksklusif buat julung kalinya pada malam konsert itu nanti.

Konsert Black On White Cromok-Barbarik menawarkan beberapa kategori tiket dengan harga bermula RM175 bagi CAT 1, RM195 (CAT 2), RM250 (CAT 3), RM350 (CAT 4), RM480 (CAT 5) dan RM998 bagi pakej VIP (CAT 6).

Tiket boleh didapati menerusi laman web MyArteez bagi kategori CAT 1, CAT 2 dan CAT 6, manakala Fantopia pula menawarkan tiket bagi kategori CAT 3, CAT 4 dan CAT 5.