Ikuti Kami:

Sistem Digital Hasilkan Bunyi Lebih Tepat Dan Terkawal – Karl Cromok

Sistem Digital Hasilkan Bunyi Lebih Tepat Dan Terkawal – Karl Cromok

Peralihan kepada sistem digital sepenuhnya dalam persembahan pentas bukan sekadar mengikut trend semasa, sebaliknya merupakan langkah strategik bagi memastikan kualiti bunyi yang lebih tepat, bersih dan terkawal.

Gitaris kumpulan legenda metal tanah air Cromok, Karl berkata, penggunaan teknologi digital seperti sistem monitor dalam telinga (IEM) dan pemproses profil gitar membolehkan setiap instrumen disalurkan terus ke sistem audio tanpa gangguan bunyi luaran.

“Apabila kita menggunakan sistem digital sepenuhnya, semua instrumen masuk terus ke ‘mixer’. Keadaan ini menjadikan pentas lebih senyap dan kita dapat mengurangkan gangguan bunyi seperti maklum balas (feedback) serta limpahan bunyi (noise spill).

“Hanya satu mikrofon sahaja digunakan di atas pentas iaitu untuk vokal, manakala selebihnya adalah digital. Ini menjadikan bunyi yang sampai kepada penonton lebih bersih dan konsisten di mana-mana sahaja lokasi persembahan,” katanya.

Karl menjelaskan bahawa sebelum ini, Cromok pernah menggunakan sehingga lapan kabinet gitar di atas pentas semata-mata untuk memastikan pemantauan bunyi (monitoring) yang jelas bagi setiap ahli kumpulan, namun kaedah itu sering menimbulkan cabaran teknikal.

Pendekatan digital sepenuhnya ini bakal direalisasikan menerusi konsert Black On White Cromok-Barbarik pada 27 Jun ini, yang menjanjikan pengalaman audio-visual berbeza selari dengan evolusi industri muzik global.

Konsert yang dijadualkan berlangsung di IdeaLive Arena, 3 Damansara, Petaling Jaya itu dijangka mencipta fenomena tersendiri dengan menyatukan dua legasi yang mempunyai identiti dan pengaruh besar dalam sejarah muzik tanah air.

Konsert yang mendapat sokongan Kementerian Komunikasi melalui MyCreative Ventures ini menawarkan tiket yang berharga antara RM175 sehingga RM998.

Pembelian boleh dibuat menerusi dua platform iaitu MyArteez (untuk CAT 1, 2, dan 6) serta Fantopia (untuk CAT 3, 4, dan 5).

Mengulas lanjut, penggunaan teknologi digital seperti Kemper Stage Profiler dan dram digital jenama tempatan, Sudoku, turut memberikan fleksibiliti luar biasa berbanding peralatan analog konvensional yang memerlukan pelaburan tinggi.

“Kalau guna amplifier dan pembesar suara tradisional, kos untuk satu set stereo boleh mencecah RM40,000 hingga RM45,000. Namun dengan sistem digital, kosnya jauh lebih rendah, malah memudahkan urusan logistik serta mempercepatkan proses pemasangan di lokasi,” tambahnya.

Mengulas mengenai penggunaan Kecerdasan Buatan (AI) dalam produksi, Karl menegaskan bahawa teknologi tersebut berperanan mempercepatkan proses kreatif tanpa menjejaskan identiti atau ‘jiwa’ muzik mereka.

Katanya, AI kini dimanfaatkan sepenuhnya dalam penghasilan muzik video terbaharu mereka serta membantu dalam penjanaan idea visual bagi persembahan akan datang.

“Teknologi tidak mengubah identiti muzik kita. ‘Soul’ itu tetap datang daripada artis itu sendiri, manakala teknologi hanyalah alat untuk kita menyampaikan karya dengan lebih efisien dan berkualiti,” jelas beliau.