Sir Race Dedikasi ‘Bah Selamat Hari Raya’, Tampilkan Alyssa Dezek Dalam Muzik Video
- oleh MDaily Editor
- 12 Mar 2026 2:08 pm
Guru Matematik yang tular di media sosial, Sir Race, membuat kejutan istimewa sempena Aidilfitri tahun ini dengan melancarkan lagu raya sulungnya berjudul Bah Selamat Hari Raya.
Karya yang diterbitkan di bawah label Sony Music Malaysia itu bukan sekadar halwa telinga, malah membawa misi tersendiri dalam mengangkat identiti negeri Sabah ke peringkat nasional.
Menariknya, lagu ini menggabungkan kemeriahan irama tradisional dengan elemen pop moden yang dipengaruhi gaya K-Pop. Sir Race turut mengekalkan tanda pagar budaya Sabah melalui penggunaan perkataan ikonik “Bah” dalam liriknya.

Menurut beliau, idea tersebut tercetus kerana menyedari kekurangan lagu raya yang benar-benar menonjolkan identiti Negeri Di Bawah Bayu itu dalam pasaran arus perdana.
“Saya perasan tidak ramai artis dari Sabah yang menghasilkan lagu raya yang menonjolkan identiti negeri kami.
“Jadi saya ambil inisiatif untuk menghasilkan sebuah lagu yang ceria, moden dan pada masa sama mengekalkan elemen Sabahan agar ia cukup dekat dengan masyarakat di sana,” katanya dalam satu kenyataan.

Bagi Sir Race, pelancaran lagu ini juga merupakan simbol penghargaan dan dedikasi khas buat anak didiknya dari Tingkatan satu hingga lima di bawah program pendidikan PTTI Group.
“Lagu ini saya dedikasikan khas buat semua pelajar saya serta komuniti ibu bapa yang sentiasa menyokong PTTI selama ini. Saya harap lagu ini dapat menggembirakan mereka selepas melalui perjalanan akademik yang mencabar,” tambahnya lagi.
Bagi memeriahkan lagi visual Bah Selamat Hari Raya, muzik videonya menampilkan suasana Aidilfitri yang penuh warna-warni dan menekankan nilai kekeluargaan.

Menambah daya tarikan, penyanyi dan pelakon muda popular, Alyssa Dezek, turut muncul sebagai cameo istimewa.
Lagu ini juga dilengkapi dengan koreografi tarian ringkas yang direka khusus bagi mencetuskan fenomena ‘cabaran tarian’ di platform media sosial seperti TikTok.
Bah Selamat Hari Raya telah dilancarkan secara rasmi pada 13 Mac 2026 dan kini boleh didapati di semua platform penstriman digital termasuk Spotify.




