Ikuti Kami:

Single Terbaharu Andrigo “Rasa Sakit Rasa Rindu” Buka Laluan Luncai Emas ke Pasaran Muzik Indonesia

Single Terbaharu Andrigo “Rasa Sakit Rasa Rindu” Buka Laluan Luncai Emas ke Pasaran Muzik Indonesia

Penyanyi Indonesia dari Riau, Andrigo, mempersembahkan single terbaharu Rasa Sakit Rasa Rindu yang dicipta Sang Hitam dan diperkemas dengan sentuhan penerbit terkenal Dodhy (Kangen Band).

Lagu ini dilihat sebagai strategi terbaharu Luncai Emas Sdn. Bhd. untuk menembusi pasaran muzik Indonesia selepas kejayaan lagu evergreen Malaysia seperti Isabella dan Tiara.

Menurut komposer, Sang Hitam, lagu ini sarat dengan mesej emosi yang dekat dengan hati pendengar.

“Lagu ini berkisah tentang sakitnya kehilangan, indahnya rindu dan ketakutan untuk membuka hati semula. Saya percaya ia akan menyentuh ramai pendengar,” katanya.

Beliau turut menzahirkan penghargaan terhadap usaha kerjasama merentas negara itu.

“Terima kasih kepada Andrigo kerana menyampaikan lagu ini dengan penuh jiwa. Saya amat berbesar hati kerana buat pertama kali lagu ciptaan saya diterbit dan dinyanyikan di Indonesia. Semoga usaha ini menjadi pembuka jalan untuk lebih banyak karya Malaysia menembusi pasaran serantau,” tambahnya.

Sementara itu, Andrigo yang berpengalaman lebih 16 tahun dalam arena Pop Melayu, menyifatkan lagu ini sebagai satu titik baharu dalam kerjayanya.

“Saya berharap Rasa Sakit Rasa Rindu dapat menjadi nafas baru dan diterima baik oleh pecinta muzik Indonesia dan Malaysia. Lagu ini sangat istimewa kerana dikemas dengan sentuhan slow rock Malaysia,” katanya.

Andrigo juga mendedahkan kerjasama ini terjalin selepas pertemuannya dengan pihak Luncai Emas dan Dato’ M. Nasir beberapa tahun lalu, sebelum akhirnya direalisasikan pada tahun ini.

Kerjasama penerbitan ini turut melibatkan label rakaman PT Dua Suara Media (Indonesia) yang sebelum ini berjaya mengangkat lagu Cinta Sampai Mati nyanyian Raffa Affar sehingga menjadi lagu luar negara persembahan tertinggi di Anugerah MACP dua tahun berturut-turut (2023 dan 2024).

Dengan reputasi yang ada, Luncai Emas yakin Rasa Sakit Rasa Rindu bakal mengulangi kejayaan sama, sekali gus membuka laluan baharu untuk karya ciptaan tempatan terus mendapat tempat di pasaran antarabangsa.

Lagu Rasa Sakit Rasa Rindu akan mula diperdengarkan secara rasmi hari ini di saluran YouTube Luncai Emas dan semua platform digital.

Komen
Loading...