Ikuti Kami:

Single ‘Tegap Berdiri’ Aizat Amdan Suntik Semangat Positif dari Arena Muay Thai

Single ‘Tegap Berdiri’ Aizat Amdan Suntik Semangat Positif dari Arena Muay Thai

Penyanyi dan komposer terkenal, Aizat Amdan, kini tampil dengan single terbaharu berjudul “Tegap Berdiri” yang diinspirasikan daripada semangat juang dalam sukan Muay Thai.

Sejak mula berminat dalam sukan tersebut pada 2015, Aizat akhirnya melangkah ke gelanggang buat kali pertama pada 12 Oktober lalu.

“Mungkin tak pernah terlintas di fikiran saya untuk bertarung, tetapi selepas bertahun-tahun menjalani latihan, jurulatih akhirnya mengesahkan saya sudah bersedia. Itulah detik penting yang memberi ilham kepada lagu ini,” kata Aizat mengimbas pengalaman perlawanan pertamanya sebagai amatur.

Single terbaharu Aizat Amdan, hasil kolaborasi bersama Mel Ramlan dan Izzy Musa di bawah Kasi Gegar Entertainment (KGE).

Menurut Aizat, dia lebih suka merancang setiap langkah dengan teliti daripada kerap mengeluarkan lagu baru.

“Saya bukan jenis yang ingin merilis lagu bertubi-tubi. Saya percaya untuk mengambil masa bagi merancang setiap langkah dalam kerjaya seni saya.”

Lagu “Tegap Berdiri” membawa mesej perjuangan dalam kehidupan. Aizat menjelaskan bahawa setiap orang ada masa susah dan senang, tetapi yang penting ialah semangat untuk terus bangkit.

“Kehidupan ini ada turun naiknya, tetapi kita harus terus melangkah dengan fikiran positif,” ujarnya.

Menariknya, lagu ini mengambil pengaruh muzik “City Pop” yang popular di Jepun pada tahun 80-an, tetapi diberi nafas baru dengan gaya Aizat sendiri, yang digelarkannya “KL-City Pop.”

Melodi dan irama lagu ini direka untuk memberi suntikan semangat, khususnya kepada mereka yang memerlukan dorongan.

Video muzik (MV) lagu ini juga telah dilancarkan di saluran YouTube rasmi Aizat, “OfficialAizatAmdan.” MV ini mengisahkan perjalanan Aizat dalam bidang Muay Thai, dari sesi latihan hingga ke perlawanan pertamanya, memaparkan kerja keras dan cabaran sebenar dalam dunia sukan.

Aizat berharap agar “Tegap Berdiri” bukan hanya dapat menghiburkan, tetapi juga menjadi lagu inspirasi.

“Dengarkan lagu ini ketika bersenam atau saat merasa ‘down’. Lagu ini adalah peringatan untuk mencabar diri, dan walaupun kita jatuh, bangkitlah semula,” kata Aizat penuh bersemangat.

Single “Tegap Berdiri” kini boleh didengarkan di pelbagai platform penstriman seperti Spotify, Apple Music, dan Joox, serta boleh dimuat turun di iTunes.

Komen
Loading...