Ikuti Kami:

Single Radar: INES Perkukuh Identiti Sebagai Artis Solo

Single Radar: INES Perkukuh Identiti Sebagai Artis Solo

Penyanyi muda berbakat besar, INES, kini melangkah lebih jauh dalam membentuk identitinya sebagai artis solo dengan pelancaran single terbaharunya, Radar.

Lagu ini menjadi simbol keberanian dan kepercayaan diri INES dalam menyampaikan karya seni yang berakar dari pengalaman peribadi dan emosi yang mendalam.

Selepas mencuri perhatian melalui single pertamanya, Andai, pada September 2024, INES kini kembali dengan Radar, sebuah lagu yang mengangkat dimensi emosi yang lebih kompleks.

Menggambarkan perjalanan emosi seorang wanita muda yang menghadapi persoalan kehilangan dan kekuatan dalaman, Radar membawa pendengar lebih dekat dengan jiwa dan kreativiti INES.

“Melalui Radar, saya ingin menyampaikan sisi diri saya yang lebih peribadi sebagai seorang artis,” kata INES semasa sidang media pelancaran.

Lagu ini, yang dicipta bersama Shazriq Azeman, Omar K, dan Iqie Hugh, mengetengahkan keupayaan INES atau nama sebenarnya Yang Mulia Tunku Ines Najihah Raden sebagai seorang penyanyi solo yang mantap, dengan vokal penuh ekspresi dan gaya muzik pop rock yang berbeza.

Video muzik Radar, yang dirakam di Pantai Goa Langir Sawarna, Indonesia, turut memperkukuh identiti artistik INES.

Dengan konsep visual yang unik, video ini menggambarkan INES sebagai “ratu lautan” dalam perjalanan mencari diri, membawa simbolisme dan emosi ke layar.

Single ini juga memperlihatkan usaha INES untuk mencipta muzik yang tidak hanya menghiburkan tetapi juga memberikan inspirasi.

Radar kini boleh didapati di semua platform digital seperti Apple Music, Spotify, dan YouTube.

Dengan sokongan kukuh peminat setianya, Inesonic, INES bersedia memperkukuh kedudukannya sebagai artis solo yang menjanjikan masa depan cerah dalam industri muzik Malaysia dan antarabangsa.

Komen