Single Kedua Malik Choo, Apa Saja, Tonjol Kisah Cinta Penuh Pengorbanan
- oleh MDaily Editor
- 22 Nov 2025 3:00 pm
Penyanyi baharu yang semakin meningkat naik, Malik Choo kembali mencuri perhatian peminat dengan pelancaran single keduanya berjudul Apa Saja, karya yang menonjolkan tema cinta, kesetiaan dan pengorbanan dalam hubungan.
Selepas kejayaan single sulung Suka Kamu, Malik meneruskan momentum dengan lagu terbaharu ciptaan penulis lirik, Mambang.
Apa Saja dilancarkan secara rasmi di semua platform penstriman pada 31 Oktober 2025 dan menerima maklum balas positif kerana makna liriknya yang dekat dengan kehidupan sebenar pasangan bercinta.
Lagu yang disuntik elemen emosi ini menggambarkan rasa syukur seseorang apabila mempunyai pasangan yang sentiasa berada di sisi, sama ada ketika bahagia mahupun ketika menempuh cabaran. Mengangkat mesej kesetiaan, Apa Saja menampilkan janji dan pengorbanan yang menjadi tulang belakang dalam sesebuah hubungan.
Dalam single baharu itu, Malik turut bekerjasama dengan Altimet dan Cuurley, selepas kejayaan lagu Kita Jaga Kita yang pernah menjadi fenomena ketika pandemik, sehingga mencatat lebih 10 juta tontonan di YouTube. Kolaborasi tersebut sekali lagi menghidupkan kekuatan penyampaian Malik menerusi melodi dan lirik yang padu.
“Apa Saja sangat dekat dengan diri saya. Lagu ini tentang menghargai seseorang yang sentiasa bersama kita, apa pun perkaranya. Ia juga tentang menunjukkan bahawa pengorbanan demi cinta adalah sesuatu yang sangat bermakna,” kata Malik.
Video muzik Apa Saja arahan Azarikh pula memberi dimensi visual yang lebih kuat kepada mesej lagu. Dibintangi Malik bersama pelakon yang pernah muncul dalam Suka Kamu, Nashua Sulaiman, video itu memaparkan perjalanan penuh pengorbanan dalam sebuah hubungan, sekali gus menguatkan elemen emosinya.
Lagu ini diterbitkan menerusi Dana Kebolehan Pasaran Industri Muzik DKK (Domestik 2.0) dengan sokongan MyCreative Ventures dan Kementerian Komunikasi, sebagai usaha memperkasakan bakat kreatif tempatan melalui inisiatif Dana Kandungan Digital.
Selain pelancaran digital, Apa Saja turut diperkenalkan secara fizikal bersama SVLTAN Management dan Sony Music Entertainment Malaysia, dengan sasaran untuk menembusi pasaran tempatan dan antarabangsa.
Peminat yang ingin mengikuti perkembangan Malik Choo boleh melayari Instagram, Twitter dan TikTok beliau di @malikchoo.




