Ikuti Kami:

Singapura Tangguh Haji Tahun Depan

Singapura Tangguh Haji Tahun Depan

Singapura menangguhkan ibadah Haji untuk semua jemaah kepada tahun hadapan demi mengelak jangkitan COVID-19 umum Majlis Ugama Islam Singapura (Muis) semalam (15 Mei).

Keputusan untuk menangguh haji itu dibuat selepas berunding dengan Kementerian Kesihatan (MOH), dengan Jawatankuasa Fatwa juga telah membincangkan hal tersebut dan menyokong keputusan bagi penangguhan haji atas sebab-sebab kesihatan dan keselamatan.

“Jawatankuasa berpendapatan bahawa dalam konteks semasa, tidak semua pra-syarat bagi haji yang selamat dapat dipenuhi, dan oleh itu, mereka menyarankan bagi rombongan Singapura menangguhkan rancangan haji demi mengelakkan potensi bahaya,” kata Muis dalam kenyataannya.

Kesemua 900 jemaah yang telah berdaftar bagi menunaikan ibadah haji tahun ini akan secara automatik dijadualkan melaksanakan haji pada tahun depan.

Dalam sidang media hari ini, Menteri Bertanggungjawab Bagi Ehwal Masyarakat Islam, Encik Masagos Zulkifli, berkata:

“Buat masa ini, tidak ada vaksin yang boleh mencegah mereka daripada dijangkiti virus itu dan jika saya faham, tidak ada ubat yang kita ketahui hari ini…yang boleh membantu mereka sekiranya mereka dijangkiti virus itu.

“Dari aspek agama, kami bersyukur Jawatankuasa Fatwa bersetuju bahawa ia keputusan betul bahawa kami harus menangguhkan haji kepada tahun depan.”

Tambah beliau: “Jika kita teruskan haji, jemaah kita akan terdedah kepada kumpulan jemaah lain dari seluruh dunia. Dan kita tidak akan tahu siapakah yang terjejas, dan siapakah yang dijangkiti. Dan saya rasa ini situasi buruk yang kita harus elakkan.”

Menurut Pengarah perkhidmatan perubatan Kementerian Kesihatan (MOH), Profesor Madya Kenneth Mak dalam sidang media yang sama, Arab Saudi telah melaporkan sekitar 40,000 kes jangkitan Covid-19 dan lebih 250 kematian daripada virus itu sejauh ini, dengan negara itu merakamkan lebih 1,000 kes baru setiap hari sejak pertengahan April.

Mufti Dr Nazirudin Mohd Nasir dalam sidang media yang sama berkata terdapat keprihatinan serius mengenai keselamatan perubatan, terutamanya risiko jangkitan dan penularan Covid-19 dalam sekitaran yang penuh sesak.

Ini lebih-lebih lagi dengan sebahagian besar jemaah Singapura berada dalam kumpulan usia berisiko tinggi, iaitu dalam 50 tahun dan ke atas.

Dr Nazirudin berkata kumpulan itu bukan hanya akan menimbulkan risiko keselamatan di Tanah Suci dan masyarakat Singapura apabila pulang ke tanah air, malah boleh menimbulkan kerumitan lain.

“Ketidakpastian ini mempunyai akibat serius ke atas kesejahteraan jasmani dan emosi jemaah kita, dan mereka secara kolektif membentukkan bahaya dan kesukaran di mana Islam mahu mengelakkan pada setiap masa,” kata beliau.

Sumber

Komen
Loading...