Ikuti Kami:

Sindiket Seludup PATI Tawar Khidmat Melalui Facebook

Sindiket Seludup PATI Tawar Khidmat Melalui Facebook

Polis Diraja Malaysia (PDRM) dengan kerjasama Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) sedang giat memburu pengendali sosial media yang menawarkan khidmat seludup pendatang asing tanpa izin (PATI) ke negara ini.

Individu berkenaan juga turut memuat naik gambar dan video berkenaan kejayaan mereka membawa masuk dan keluar PATI melalui laluan laut melalui Facebook.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Huzir Mohamed berkata, siasatan awal mendapati, salah seorang pengendali akaun itu ditahan dalam Op Covid-19 Benteng, pada 4 hingga 7 Jun lepas.

“Polis masih lagi mengesan individu lain dipercayai pengendali laman sosial yang mempromosi perkhidmatan membawa masuk pendatang tanpa izin ke negara ini,” katanya hari ini.

Huzir berkata, pihaknya yakin ejen dan sindiket terbabit tidak mempunyai pilihan untuk mencari ‘pelanggan’ menerusi media sosial selepas pihak berkuasa mempertingkatkan kawalan dan rondaan semasa Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP).

Akhbar tempatan hari ini melaporkan sindiket berkenaan mengenakan bayaran antara RM1,600 hingga RM3,000 untuk membawa masuk seorang pendatang tanpa izin warga Indonesia ke negara ini.

Berdasarkan siasatan awal, katanya ejen dan sindiket dipercayai berselindung membuat tawaran khidmat menggunakan identiti Facebook individu lain bagi mengelak diri mereka dikesan pihak berkuasa.

“Kita akan lakukan siasatan lanjut untuk mengesan mereka. Maklumat dalam media sosial juga akan diperhalusi bagi membolehkan JSJ mengetahui lokasi, masa dan laluan bakal digunakan semasa membawa PATI.

“Pemantauan melalui media sosial ini bukan hanya tertumpu kepada jaringan Malaysia-Indonesia, malah turut membabitkan usaha pihak tertentu yang cuba melakukan jenayah sama dari Filipina, Thailand dan Bangladesh,” katanya seperti dipetik Berita Harian.

Tinjauan di media sosial mendapati khidmat terbabit ditawarkan sekurang-kurangnya dua individu dengan lokasi kegiatan di sekitar perairan Johor, Batam, Riau dan Surabaya.

Foto : Bernama.

Komen
Loading...