Sinar Kasih Aidilfitri: YBK, Coca-Cola Malaysia Santuni 1,000 Keluarga rai Aidilfitri
- oleh MDaily Editor
- 16 Mar 2026 4:53 pm
Yayasan Basmi Kemiskinan (YBK) dengan kerjasama Coca-Cola Malaysia melaksanakan program Sinar Kasih Aidilfitri bagi menceriakan sambutan hari raya buat 1,000 keluarga yang memerlukan di seluruh negara menerusi pengagihan sumbangan minuman.
Inisiatif tanggungjawab sosial korporat (CSR) itu bertujuan menyemarakkan semangat kebersamaan dan berkongsi kegembiraan bersama masyarakat yang kurang bernasib baik menjelang ketibaan 1 Syawal.

Pengerusi YBK, YBhg. Dato’ Haji Zainal Abidin Sakom berkata, program tahun ini menyaksikan penglibatan sektor korporat yang lebih besar bagi memastikan bantuan sampai terus kepada kumpulan sasar yang telah dikenal pasti oleh pihaknya.

”Menerusi kerjasama ini, sebanyak 1,000 karton minuman diagihkan kepada Ketua Isi Rumah (KIR) yang terdiri daripada golongan miskin tegar. Jika kita ambil kira purata lima ahli bagi setiap keluarga, bermakna seramai 5,000 individu bakal menikmati sumbangan ini.
”Pihak Coca-Cola Malaysia turut menyumbang sebanyak RM60,000 bagi program Sinar Kasih Ramadan (SKR) yang dilaksanakan sebelum ini, sekali gus memperkukuh jaringan kebajikan kita pada tahun ini,” katanya selepas majlis pengagihan di Dewan Blok ABC, PPR Lembah Subang 1, Taman Putra Damai, di sini hari ini.
Turut hadir menyerikan majlis adalah duta kempen ‘Wanta Fanta’, selebriti popular Awal Ashaari, serta Pengurus Kanan Hal Ehwal Awam, Komunikasi dan Kelestarian Coca-Cola Malaysia, Wan Ahmad Syazwan Mohamed.
Bagi fasa pertama di PPR Lembah Subang 1, sebanyak 150 keluarga telah menerima sumbangan tersebut, manakala baki 850 karton lagi akan diedarkan pada minggu terakhir Ramadan melalui rakan strategik NGO di beberapa lokasi termasuk Melaka, Negeri Sembilan dan Wilayah Persekutuan.
Sementara itu, Awal Ashaari melahirkan rasa syukur kerana dapat terlibat secara langsung dalam misi bantuan yang berskala besar tersebut.

”Sebagai selebriti, adakalanya sukar untuk kita menjengah terus ke setiap pelosok komuniti yang memerlukan. Namun, dengan adanya usaha sama antara jenama besar seperti Coca-Cola dan kepakaran YBK, impian saya untuk ‘give back’ atau memberi semula kepada komuniti menjadi kenyataan,” ujarnya.
Dalam pada itu, Wan Ahmad Syazwan berkata, pihaknya komited untuk terus menyantuni golongan memerlukan bukan sahaja pada bulan Ramadan, malah dalam aktiviti-aktiviti kemasyarakatan pada masa akan datang.
Sejak penubuhannya pada 1990, YBK kekal aktif menggerakkan agenda pembasmian kemiskinan dengan memfokuskan kepada pembangunan modal insan dan kebajikan masyarakat di seluruh negara.




